Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daerah Tutong makin menarik untuk melancong

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 23 Ogos – Daerah Tutong kini semakin popular dari segi penerimaan jumlah pelawat-pelawat yang semakin meningkat.

    Mengikut statistik daripada Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, pada tahun 2016, seramai 1,680 orang pelawat telah berkunjung ke tempat-tempat menarik di Daerah Tutong yang mana seramai 450 orang daripadanya menggunakan pakej lawatan yang telah disediakan dan selebihnya adalah Frequent Independent Travelers (FITs).

    Sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, seramai 1,085 orang pelawat telah melawat ke Daerah Tutong menggunakan pakej lawatan yang disediakan menerusi Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong dan ejen-ejen pelancongan di negara ini.

    Ini dinyatakan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong semasa berucap pada Majlis Pelancaran Pakej Destinasi Tutong, pagi tadi.

    Menurut beliau, terdapat banyak tempat menarik di Daerah Tutong yang masih belum ditemui oleh pelawat-pelawat di negara ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali belayar menelusuri Sungai Tutong selepas merasmikan Pelancaran Promosi Pakej Destinasi Tutong, kelmarin.

    Oleh itu, menerusi pakej lawatan yang ditawarkan akan dapat memudahkan lagi pelawat-pelawat untuk berkunjung ke Daerah Tutong, katanya.

    Beliau turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jabatan Daerah Tutong, Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) di Daerah Tutong dalam sama-sama menjayakan mempromosi perkhidmatan dan produk pelancongan kepada pelawat-pelawat di negara ini dan antarabangsa.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali juga menggesa ejen-ejen penerbangan, penginapan, hotel dan ejen pelancongan di negara ini untuk mengambil peluang bekerjasama dalam mempromosikan produk lawatan melalui program lawatan yang disediakan.

    Dengan inisiatif seperti ini, beliau mengalu-alukan lebih banyak ejen pelancongan untuk mewujudkan urus niaga tersebut yang mana akan memberikan impak positif kepada sektor pelancongan dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda