Daerah Tutong sedia sambut keberangkatan Baginda Sultan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 11 Julai – Dalam usaha untuk melancarkan acara persembahan warna-warni bersempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong nanti, latihan penuh telah diadakan di kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, di sini, hari ini.

Hadir bagi menyaksikan latihan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang juga selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 Tahun.

Acara yang akan melibatkan seramai 471 orang peserta itu melibatkan penuntut-penuntut sekolah rendah dan menengah, puak dan masyarakat, majlis perundingan mukim dan kampung, belia-belia dan sukarelawan di Daerah Tutong yang akan mengetengahkan tema ‘Raja Bijaksana, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’.

Pengerusi Bersama Persembahan Khas, Awang Abdul Ajees bin Haji Hamdan menyarankan agar para peserta yang terlibat akan dapat membuat persembahan yang terbaik kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai menunjukkan rasa ketaatan, kesetiaan dan kecintaan rakyat kepada raja tercinta.

Menurutnya, persembahan yang dibawakan antara lain menggambarkan belia-belia yang mempunyai sikap bertanggungjawab, mempunyai wawasan, berdaya maju serta semangat kerja berkumpulan yang jitu.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar beramah mesra bersama peserta semasa hadir menyaksikan latihan tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar beramah mesra bersama peserta semasa hadir menyaksikan latihan tersebut.
Latihan penuh persembahan khas dijalankan di Padang Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong, kelmarin.
Latihan penuh persembahan khas dijalankan di Padang Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong, kelmarin.

Selain itu, ia juga dimuatkan dengan gambaran tentang prinsip serta hala tuju kemajuan negara yang sentiasa mengekalkan warisan dan budaya di dalam semua aspek kemajuan bagi mengekalkan perpaduan rakyat sebagai komponen utama untuk menuju Wawasan Brunei 2035.

Mengenai latihan persembahan pula, Awang Abdul Ajees menjelaskan latihan dibuat sejak 3 Mei yang lalu dan dihentikan seketika selama sebulan untuk menghormati bulan Ramadan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, dan seterusnya kembali membuat latihan sebanyak lapan kali pada bulan ini.

Walaupun masa untuk membuat latihan adalah terhad, namun beliau percaya dengan semangat yang dibawa oleh para peserta persembahan, mereka boleh membawa persembahan yang terbaik.