Daesh bunuh tiga orang awam di Utara Iraq

SALADIN, 15 MEI – Sekurang-kurangnya tiga orang awam  terbunuh dalam serangan keganasan oleh Daesh di wilayah Saladin utara Iraq, kata seorang pegawai pada hari ini.

Anggota suruhanjaya keselamatan Majlis Wilayah Saladin Mehdi Taki berkata seorang ketua kampung dan dua saudaranya maut dalam kejadian itu. Daesh turut membakar rumah ketua kampung.

Pada akhir 2017, pegawai di Baghdad menyatakan kumpulan Daesh di Iraq sudah berjaya dibanteras.

Namun, dilaporkan masih terdapat saki-baki pengganas yang bersembunyi di bandar Anbar, Diyala, Kirkuk, Saladin dan Mosul. Berikutan itu, tentera Iraq meneruskan operasi untuk memerangi saki-baki anggota Daesh di bandar berkenaan.- Bernama