Selepas lima tahun tidak muncul dengan sebarang lagu baharu, penyanyi Dafi mengakui dia menyimpan hasrat untuk melancarkan single dalam masa terdekat.
Menurut Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, dia mempunyai lagu yang sudah dirakam namun masih menunggu waktu yang sesuai untuk dilancarkan.
Akui pada mulanya bimbang untuk melancarkan lagu ketika pandemik, namun penyanyi berusia 33 tahun ini berharap single terbaharunya itu nanti akan memberi semangat kepada pendengar.
“Sebenarnya saya sudah ada single yang sudah dirakam dan berada dalam simpanan namun menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan.
“Secara peribadi, pada mulanya saya memang rasa macam kurang sesuai untuk lancarkan lagu ketika negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.
“Namun jika difikirkan kembali, tidak salah untuk tampil dengan lagu yang menyebarkan semangat dan aura positif sebagai pemangkin semangat.
“Lagu simple saja tapi mempunyai mesej tersendiri, tajuknya nanti saya akan kongsikan,” kata Dafi kepada wartawan. – Agensi
