Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Daftar anjing peliharaan sebelum 1 Februari

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) memaklumkan para pemilik anjing peliharaan atau yang baharu memiliki anjing supaya mendaftarkan anjing mereka sebelum 1 Februari 2023.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KHEDN menjelaskan bahawa anjing-anjing yang didaftarkan hendaklah berusia tiga bulan ke atas.

    Pendaftaran boleh dibuat di kaunter-kaunter Jabatan Bandaran di cawangan Bandar Seri Begawan (BSB), Kuala Belait dan Seria serta cawangan Tutong.

    Waktu kaunter pembayaran bagi Jabatan Bandaran BSB dan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, dibuka pada setiap Isnin hingga Khamis bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari, dan 1:30 petang hingga 3 petang manakala itu, Sabtu dari 8 pagi hingga 10 pagi sahaja.

    Manakala bagi Jabatan Bandaran Tutong, kaunter pembayaran bermula 8 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:45 petang hingga 2:45 petang pada Isnin hingga Rabu kecuali Khamis yang bermula pukul 10:30 pagi sementara pada Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 11:30
    pagi.

    Kenyataan menekankan bahawa menjadi kesalahan di bawah Bab 4, Akta Anjing (Penggal 60), jika pemilik gagal mendaftarkan anjing-anjing dan mereka boleh dijatuhkan hukuman denda $250 atau 14 hari penjara bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda $500 atau sebulan penjara.

    Dalam pada itu, pihak kementerian juga mengingatkan para pemilik supaya anjing yang telah didaftarkan perlulah dikalungkan lencana pada leher anjing setiap masa. Bagi pemilik berdaftar yang mempunyai lencana anjing tetapi tidak dikalungkan pada anjing tersebut juga akan diambil tindakan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda
    $250 atau sebulan penjara di bawah Akta Anjing (Penggal 60) Bab 5 (1).

    Turut ditekankan bahawa pemilik adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas anjing-anjing peliharaan mereka untuk sentiasa berada di dalam kawasan rumah sahaja sama ada di kandang atau sangkar atau ditambat.

    Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Bandaran BSB di talian 2232426 sambungan 303; Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria di talian 3335567 atau 3347495; dan Jabatan Bandaran Tutong di talian 4221009 atau 8282965.

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...