Daftar haji bermula 6 Disember

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menerusi Jabatan Urusan Haji memaklumkan bahawa pendaftaran haji bagi 1443 Hijrah/ 2022 Masihi akan mula dibukakan pada 6 Disember ini hingga 5 Februari 2022 di pusat-pusat pendaftaran.

Menurut kenyataan KHEU, pusat-pusat pendaftaran di Ruang Legar, Lantai Bawah Bangunan Tambahan KHEU, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong dan Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Temburong dibuka pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari 8:45 pagi hingga 12 tengah hari.

Selaras dengan Fasa Peralihan di bawah Rangka Kerja Pemulihan COVID-19 Kebangsaan, Jabatan Urusan Haji akan melaksanakan sistem tempahan awal untuk pembelian borang pendaftaran haji melalui talian WhatsApp pusat pendaftaran yang disediakan.

Tempahan bagi pembelian borang pendaftaran haji bolehlah dibuat bermula 2 Disember hingga 30 Januari 2022 menerusi talian 7189261 untuk pusat pendaftaran Ruang Legar, Lantai Bawah Bangunan Tambahan KHEU; talian 7189275 untuk pusat pendaftaran Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait; 7189320 untuk pusat pendaftaran di Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong dan 7189327 untuk pusat pendaftaran di Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Temburong.

Setelah tempahan dibuat, pemohon akan dimaklumkan melalui WhatsApp mengenai tarikh dan masa yang ditetapkan untuk mengambil borang pendaftaran haji yang telah ditempah di pusat pendaftaran yang telah dipilih.

Pemohon, ketua keluarga atau wakil hendaklah hadir ke pusat pendaftaran haji yang dipilih untuk mengambil borang pendaftaran haji yang ditempah mengikut janji temu ditetapkan dengan menyediakan jumlah wang tepat bagi tujuan pembayaran.

Borang pendaftaran haji dan slip penghantaran borang hendaklah diisikan dengan lengkap berserta dokumen-dokumen yang diperlukan dan dimasukkan semula ke dalam sampul surat dan dihantar ke pusat pendaftaran yang dipilih sebelum pendaftaran haji ditutup.