Daftar lesen jika urus radiasi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) menggesa semua entiti yang berkaitan di negara ini untuk memohon lesen radiasi bagi mematuhi syarat keselamatan Perintah Perlindungan Radiasi, 2018.

Menurut kenyataan dari SHENA, hari ini, walaupun bahan radioaktif dan peralatan pemancar radiasi (peralatan terkawal) memiliki banyak manfaat, mulai dari minyak dan gas serta sektor tenaga, digunakan dalam perubatan, industri, keselamatan dan pertanian, ia juga dapat menimbulkan kebimbangan keselamatan dan sekuriti yang serius jika terjadi insiden akibat kecuaian atau perbuatan berniat jahat.

Implikasi daripada insiden boleh merangkumi korban jiwa, masalah kesihatan jangka panjang berkaitan radiasi, kesan psikologi serta impak negatif ekonomi.

Kenyataan menjelaskan lagi, disebabkan sifatnya yang berbahaya, adalah wajar SHENA melalui Jabatan Radiasi memastikan bahawa bahan dan peralatan tersebut diatur dan dinilai sebelum dapat digunakan di negara ini.

Syarikat-syarikat dan organisasi yang berhasrat untuk terlibat dalam menjalankan aktiviti berkaitan radiasi dan mempunyai pekerja radiasi diminta untuk memohon pendaftaran dan atau lesen secara sah serta akan menjalani penilaian yang ketat sebelum mendapat persetujuan dari Jabatan Radiasi di SHENA.

Ini adalah untuk mengelakkan sebarang kesan yang tidak diingini berlaku terhadap pekerja, orang awam dan persekitaran ketika mengendalikan bahan radioaktif dan peralatan pemancar radiasi.

SHENA menekankan bahawa mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar undang-undang boleh disabitkan dengan hukuman denda antara $1 hingga $10 juta serta penjara selama satu hingga lima tahun.

Selaras dengan Perintah Perlindungan Radiasi, 2018, setiap pemegang lesen perlu sentiasa berwaspada dan meningkatkan kesedaran dalam memastikan pekerja dan orang awam tidak mengalami risiko yang tidak wajar terhadap kesihatan atau keselamatan mereka yang timbul dari pelaksanaan aktiviti radiasi.