Daftar RFPA di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Bermula 2 Disember, Akauntan Profesional Bertauliah ASEAN (ASEAN CPA) dari negara-negara anggota ASEAN yang lain (bukan warganegara Brunei Darussalam) yang berhasrat mendaftar sebagai Registered Foreign Professional Accountant (RFPA) di negara ini hendaklah mengisi borang permohonan lengkap dan menghantarnya ke Bahagian Hasil di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, menjelaskan bahawa borang boleh dimuat turut melalui https://www.mofe.gov.bn/divisions/RFPA.aspx dan menghantarnya ke Bahagian Hasil, Tingkat Bawah, Island Block, Jalan Komanwel, di sini.

ASEAN CPA hendaklah bersetuju untuk terikat dengan Kod Etika bagi Akauntan Profesional yang dikeluarkan oleh International Ethical Standards Board of the International Federation of Accountants serta undang-undang dan peraturan-peraturan di Negara Brunei Darussalam dan hanya akan dibenarkan untuk bekerja sebagai RFPA di negara ini secara kerjasama dengan akauntan profesional tempatan yang dilantik yang juga merupakan ahli kepada Brunei Darussalam Institute of Certified Public Accountants (BICPA).

Bagi maklumat lanjut, boleh hubungi Bahagian Hasil melalui e-mel [email protected] atau di talian 2383933/2390651.