Dagangan M’sia meningkat kepada RM180.96 bilion

KUALA LUMPUR, 27 OGOS – Prestasi perdagangan Malaysia meneruskan momentum peningkatannya pada Julai 2021 dengan mencatat pertumbuhan sebanyak 13 peratus tahun ke tahun kepada RM180.96 bilion dengan kenaikan dua digit untuk bulan keenam berturut-turut sejak Februari lepas.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), eksport turut berkembang sebanyak 5.0 peratus kepada RM97.32 bilion iaitu peningkatan tahun ke tahun untuk bulan kesebelas berturut-turut sejak September 2020 manakala import meningkat sebanyak 24 peratus kepada RM83.64 bilion.

“Lebihan dagangan menguncup sebanyak 45.8 peratus kepada RM13.68 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas MITI, pertumbuhan eksport itu disokong oleh kenaikan eksport membabitkan keluaran petroleum, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit selain kimia dan bahan kimia yang dipacu oleh permintaan luar yang lebih kukuh.

Malah, eksport ke pasaran utama iaitu ASEAN, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun turut merekodkan pertumbuhan positif.

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, import meningkat 0.5 peratus manakala perdagangan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing berkurangan sebanyak 4.1 peratus, 7.7 peratus dan 38.5 peratus, kata MITI.

Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2021, perdagangan meningkat sebanyak 23.9 peratus kepada RM1.237 trilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Eksport berkembang sebanyak 25.9 peratus kepada RM682.9 bilion, import naik 21.6 peratus kepada RM554.17 bilion manakala lebihan dagangan melonjak sebanyak 48.8 peratus kepada RM128.74 bilion.”

Tempoh Julai 2021 juga menyaksikan prestasi eksport sektor utama mencatat pertumbuhan. – Bernama

Papan tanda ‘Putrajaya’ dilihat di hadapan bangunan pejabat perdana menteri di Putrajaya, Malaysia, kelmarin. Prestasi perdagangan Malaysia meneruskan momentum peningkatannya pada Julai 2021. – AP