Daging mentah seludup dirampas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Beberapa bungkusan daging mentah yang ditemui di dalam sebuah van yang mencurigakan telah dirampas oleh anggota Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dalam Operasi Langkah yang diadakan baru-baru ini.

Operasi tersebut dijalankan di Kampung Junjongan, Limau Manis, di mana pihak polis telah berjaya menahan van tersebut di Simpang 2302, kampung berkenaan bersama pemandunya semasa keluar dari kawasan jalan tersebut. Daging tersebut ditemui di dalam sebuah bekas penyimpanan dan dipercayai diseludup masuk melalui jalan tikus.

Suspek bernama Jufri bin Haji Sahib, warganegara tempatan berumur 43 tahun ditahan bersama barang bukti dan dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi siasatan.

PDB melalui Pasukan Simpanan Polis Kompeni C akan sentiasa menjalankan operasi dan rondaan di kawasan-kawasan sempadan negara ini dalam usaha menangani jenayah-jenayah rentas sempadan.

Daging mentah yang dipercayai diseludup melalui jalan tikus.