Daging penyu boleh menjadi punca penyakit kronik

KUALA TERENGGANU, 6 SEPT – Daging penyu boleh menjadi punca terjadinya penyakit kronik yang menyebabkan kematian, kata Pensyarah Biologi Marin Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Muhammad Hafiz Borkhanuddin.

Beliau berkata ini kerana penyu mempunyai kandungan logam berat tinggi yang melebihi standard keselamatan makanan antarabangsa.

“Ini boleh mengakibatkan kesan toksik termasuk penyakit ginjal, barah hati dan kesan perkembangan pada janin dan kanak-kanak.

“Selain itu, daging penyu juga mempunyai bakteria, parasit, biotoksin dan tempat pengumpulan bakteria yang terhasil daripada pencemaran alam sekitar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika di-minta mengulas amalan memakan daging penyu oleh penggemar makanan eksotik. Muhammad Hafiz berkata daripada perspektif parasitologi, terdapat banyak laporan yang merekodkan kehadiran telur dan cacing parasit pada penyu seperti cacing ‘trematoda’.

“Parasit-trematoda dewasa dijumpai terutamanya di jantung, manakala telur ‘trematoda’ boleh dijumpai di pelbagai organ termasuk otak, jantung, hati, paru-paru, limpa, ginjal, kulit, perut dan usus.

“Sebagai contoh, kajian yang dijalankan ke atas penduduk Orang Asli di Australia telah menjumpai telur cacing ini di dalam najis kanak-kanak masyarakat tersebut.

“Ini sekali gus menunjukkan risiko jangkitan akibat memakan daging penyu memang berlaku, seterusnya memberi indikasi bahawa cacing dewasa mampu membiak di dalam badan kanak-kanak terbabit,” katanya. – Bernama