Sedang mengenali hati budi!
Itu jawab pendakwah selebriti Da’i Syed apabila ditanya mengenai status hubungannya dengan pengacara stesen televisyen iaitu Hana Ismail.
Berdoa agar urusannya dipermudahkan, Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal, 27, bagaimanapun enggan terlalu terbuka bercerita mengenai hubungan itu kerana bimbang tidak menjadi seperti dirancang.
“Terpulanglah pendapat orang ramai hendak menilai hubungan kami. Saya hanya minta doakan yang terbaik agar dipermudahkan segala urusan.
“Buat masa sekarang saya tidak boleh bercakap lanjut lagi. Takut nanti apa yang dirancang tidak menjadi. Jika ada berita baik ke arah hubungan yang lebih serius saya akan beritahu,” katanya kepada wartawan.

Syed berkata demikian ketika ditemui di Majlis Malam Selebriti & Anak Seni bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan di Hotel Le Meridien, Putrajaya baru-baru ini.
Baru-baru ini tular foto memperlihatkan Syed dan Hana bersama kedua-dua ibu mereka dalam sebuah majlis.
Mengulas mengenai foto tersebut, Syed menjelaskan ia hanyalah pertemuan dua keluarga untuk mengenali lebih lanjut antara satu sama lain.
“Majlis itu adalah pertemuan antara dua keluarga untuk kenal lebih lanjut. Keluarga juga tidak ada masalah untuk kami melangkah ke fasa seterusnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syed juga berkata dia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami dan berharap perancangan ke arah itu akan berjalan lancar. – Agensi