Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Daie perlu diperkasakan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sebelum cadangan meramaikan daie berbangkit, sepatutnya daie yang sedia ada dikelinga dan diperkasa kualiti mereka terlebih dahulu.

    Baginda menegaskan perkara itu semasa berkenan bertitah pada lawatan tidak berjadual ke Pusat Dakwah Islamiah (PDI) hari ini, yang mana PDI merupakan salah sebuah jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang berperanan amat penting untuk menentukan syiar Islam menyerlah di negara ini.

    Baginda turut menekankan bahawa cara untuk menggelinga dan memperkasa adalah seperti mewujudkan skim latihan daie yang membolehkan pegawai yang berkenaan diberikan latihan bagaimana untuk melakukan dakwah dengan berkesan.

    Melalui skim tersebut, titah Baginda lagi, pegawai yang berpotensi dirancang untuk mengambil ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang dakwah di mana antara metodologi nanti termasuk menemu bual daie yang sudah dikenal pasti sebagai berkaliber sama ada di dalam atau luar negara.

    “Ini adalah untuk mengongsikan pengalaman dan cara bagaimana cara menyampaikan dakwah yang berkesan serta apa resipi yang perlu bagi tujuan tersebut,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
    Baginda Sultan semasa berkenan mengur-niakan titah pada majlis berkenaan.

    Baginda seterusnya bertitah lagi, apabila calon PhD itu lulus dengan tesis yang dihasilkan kaya dengan fakta dan butir-butir kajian, tidak ragu lagi individu ini dengan sendirinya akan menjadi pakar pendakwah atau berperanan selaku guru pembimbing yang bertauliah kepada daie yang sedia ada.

    Menurut Baginda lagi, jika ini berlaku ia akan memberi perubahan besar ke atas pendakwah dan dunia dakwah sendiri daripada keadaan suram kepada keadaan terang.

    Perkara ini, menurut Baginda, belum pernah difikirkan sedangkan dalam PDI itu sendiri mempunyai tenaga-tenaga yang layak untuk diberikan kesempatan mencuba.

    Semasa lawatan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menegaskan PDI tidak boleh mengelak daripada tanggungjawab yang besar dan pusat tersebut belum dapat menangani tanggungjawab tersebut disebabkan beberapa faktor kelemahan terutama dari sudut penstrukturan jawatan yang belum teratur.

    Walaupun namanya jabatan PDI namun dalam penstrukturan tidak terdapat jawatan pendakwah kerana itu berlaku konflik, siapa yang akan ditugaskan berdakwah atau berceramah bagi mengisi program dakwah.

    Dalam titah Baginda lagi, pegawai-pegawai yang ada sering bertolak-tolakan sehingga ada yang berkata, ‘Saya tidak ada kena mengena dengan ceramah, jawatan saya bukan penceramah atau pendakwah’.

    “Lalu PDI dengan terdesak meminta bantuan daripada guru-guru agama atau pegawai-pegawai masjid atau lepasan graduan universiti untuk berceramah dengan dibayar elaun kepada mereka.”

    Sekiranya perkara ini berterusan, titah Baginda, sampai bila-bila dakwah di negara ini tidak akan menyerlah dan akan terus malap.

    Baginda turut dimaklumkan untuk melahirkan pendakwah tempatan berkaliber, KHEU telah mengadakan latihan formal melalui seminar, forum, kursus, persidangan, lawatan sambil belajar dan juga menghantar daie atau penceramah PDI untuk mengikuti melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama ne-gara-negara MABIMS dan lain-lain.

    Tegas Baginda, walaupun cara ini pada dasarnya baik tapi untuk melahirkan pendakwah berkaliber, ia belum mencukupi kerana hanya dengan mengambil bahagian dalam seminar atau forum atau sebagainya belum berupaya untuk menjadikan seorang itu daie yang berkaliber.

    “Kemudian langkah berikutinya, KHEU juga telah memohonkan penambahan jawatan seramai 195 orang bagi bahagian dakwah saja untuk merealisasikan keperluan dakwah,” titah Baginda.

    Baginda seterusnya bertitah menjelaskan, konsep meramaikan kakitangan atau pegawai memang menjadi kecenderungan tapi bagi Baginda, dengan hanya meramaikan tenaga saja belum tentu menjamin yang tenaga-tenaga ramai itu akan mampu menggalas tugas besar jika tenaga tersebut tidak atau kurang berkualiti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...