Daimler luluskan penyelesaian tuntutan AS$2.2 bilion

BERLIN, 14 OGOS – Daimler telah meluluskan penyelesaian bernilai AS$2.2 bilion berhubung perisian penipuan pengeluaran dalam kenderaan diesel di Amerika Syarikat (AS), kata pengeluar kereta Jerman semalam.

Syarikat itu telah ‘mencapai perjanjian pada prinsip dengan pelbagai pihak berkuasa AS untuk menyelesai tuntutan awam dan alam sekitar berhubung sistem kawalan pengeluaran kira-kira 250,000 kereta penumpang diesel dan van di AS,” katanya dalam satu kenyataan.

Perjanjian itu termasuk AS$1.5 bilion yang perlu dibayar kepada pihak berkuasa AS, serta AS$700 juta untuk menyelesaikan satu tindakan guaman kelas pengguna.

Pengurusan dan lembaga penyelia telah meluluskan penyelesaian yang dicadangkan, yang kini perlu diluluskan oleh pihak berkuasa relevan dan mahkamah, kata syarikat.

Pihak berkuasa AS yang terbabit adalah Jabatan Keadilan, Kastam dan Perlindungan Sempadan, dan pihak berkuasa di California, di mana aduan pertama difailkan.

Daimler dituduh menyembunyikan bukti ia menggunakan perisian yang tidak dibenarkan dalam kereta diesel bertujuan menipu ujian pengeluaran.

Kereta yang terbabit dalam skandal ‘dieselgate’, yang bermula dengan Volkswagen pada 2015, melihat enjin dipasang dengan perisian yang mendorong mereka mengeluarkan bahan pencemaran yang lebih rendah dalam makmal apabila mereka menjalani ujian berbanding di jalan.

Daimler berkata penyelesaian tidak memberikan kesan ke atas aliran tunainya selama tiga tahun, termasuk 12 bulan akan datang, tetapi berkata ia menyediakan peruntukan yang cukup untuk memenuhi kos tersebut. – AFP

Ola Kallenius, pengerusi Lembaga Pengurusan Daimler AG dan Mercedes-Benz AG, bercakap mengenai inovasi pembuat kereta semasa Ucapan Dasar Daimler di Las Vegas. – AP