Daiyan Trisha ekpresi perasaan melalui Penat

Pandemik COVID-19 yang dilalui hampir dua tahun ini tentunya memenatkan untuk semua orang, tidak kira siapa kita. Apatah lagi jika ia turut terbeban dengan rasa kecewa dan patah hati disebabkan putus cinta dengan seseorang yang amat dicintai.

Itulah yang diekspresikan penyanyi Daiyan Trisha, menerusi single terbaharunya yang berjudul Penat. Menurut Daiyan, 28, lagu ciptaan sepenuhnya oleh dia sendiri dengan sentuhan bunyi daripada Kuizz Shah itu menceritakan tentang kisah putus cinta yang dilaluinya lebih sebulan lalu.

“Bila tengok banyak perkongsian tentang ‘penat’ yang diluahkan rakan-rakan di media sosial, saya rasa terkesan kerana ketika itu turut berada dalam keadaan emosi tidak stabil.

“Saya baru sahaja putus cinta dan berdepan dengan emosi berat. Bukan disebabkan sakit atau sedih, tetapi terlalu penat dengan apa dilalui sehingga emosi itu diterjemahkan dalam bentuk karya,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media single Penat yang diadakan secara virtual baru-baru ini.

Tambahnya lagi, Penat memberi makna cukup mendalam buat dirinya kerana ia turut membawa emosi jujur yang dirasai ketika menulis lagu yang mengambil masa satu jam untuk dihasilkan itu.

“Apabila kita dihadapkan dengan emosi yang terlampau dalam dan berat, kita hanya mampu bersendiri dan menangis sambil berbisik, aku penat.

“Bukan sahaja dalam soal putus cinta, tetapi juga merangkumi kepenatan kita ter-hadap perkara-perkara lain dalam kehidupan sehingga kita rasa begitu beremosi.

“Saya percaya ramai orang merasakan perkara sama dan hubungkan dengan apa yang mereka lalui. Sebab itulah teaser lagu ini mendapat maklum balas baik daripada peminat dan mahukan lagu ini segera dikeluarkan,” katanya yang pertama kali tampil dengan single balada.

Bercerita lanjut tentang proses rakaman lagu itu, Daiyan berkata, semuanya dilakukan dari rumah dan secara maya bersama penerbitnya, Kuizz. – Agensi

Menurut Daiyan, lagu Penat ciptaannya itu menceritakan tentang kisah putus cinta yang dilaluinya lebih sebulan lalu. – Agensi