Dakwa harta ‘tercemar’ hasil loteri

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Susulan rampasan harta ‘tercemar’ daripada seorang lelaki tempatan tanpa perbicaraan baru-baru ini, Biro Mencegah Rasuah (BMR) menjelaskan lanjut tentang siasatan sumber pendapatan Ibrahim bin Abdul Ghani yang membawa kepada kes saman.

BMR menyatakan penemuan siasatan mendedahkan Ibrahim bekerja sebagai ketua di sebuah syarikat minyak di negara ini, yang memperoleh antara $7,000 dan $9,000 sebulan yang mana sumber pendapatan utamanya adalah daripada gaji bulanan.

Dia juga didapati mengekalkan sejumlah besar wang dalam akaun-akaun banknya yang gagal diisytiharkan dan dijelaskan sumbernya.

Ibrahim berjaya menjelaskan kebanyakan sumber pendapatannya kecuali jumlah yang diperintahkan untuk dirampas, yang didakwanya sebagai kemenangan tunai daripada bermain loteri di luar negara.

Timbalan Pendakwa Raya Pengiran Norsuzanawati Pengiran Haji Abas dan Pendakwa Siti Khalillah Hussin memohon bagi jumlah $396,500 diisytiharkan sebagai harta tercemar dan dirampas di bawah Seksyen 83 (1) Perintah Pemulihan Aset Jenayah 2012.

Pihak pendakwa juga memohon supaya jumlah wang itu dipindahkan ke Kumpulan Wang Rampasan Aset Jenayah.

Permohonan itu dibuat atas alasan Ibrahim telah memberikan persetujuan untuk permohonan itu seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 132 Perintah Pemulihan Aset Jenayah 2012.

Ketua Hakim Negara Dato Seri Paduka Steven Chong membenarkan permohonan itu dan mengisytiharkan jumlah itu sebagai harta tercemar di bawah Seksyen 2 perintah yang sama.