Dakwaan polis sebagai ‘pertahanan diri’ dalam perang dadah menimbulkan keraguan

MANILA, 20 OKT – Penilaian kerajaan Filipina terhadap puluhan operasi perang dadah maut telah menimbulkan keraguan ke atas dakwaan polis yang mereka bertindak dalam ‘mempertahankan diri’, kata seorang pegawai tertinggi hari ini.

Setiausaha Keadilan, Menardo Guevarra mengumumkan bulan ini bahawa sekitar 154 pegawai telah dikenal pasti bagi ‘kemungkinan jenayah liabiliti’ berhubung operasi polis yang dijalankan semasa perang dadah Presiden Rodrigo Duterte.

Kebanyakan 52 kes yang dinilai semula oleh Jabatan Keadilan dan diumumkan hari ini adalah operasi perang dadah yang berakhir dengan penembakan mati suspek.

“Hampir kesemuanya…menunjukkan keadaan yang tidak menyokong dakwaan pertahanan diri pegawai polis,” kata Guevarra kepada AFP dalam mesej teks.

“Oleh itu kami telah menyerahkan kes-kes ini kepada NBI (Biro Siasatan Nasional) untuk meneliti kes itu dengan betul.”

Kebanyakan pegawai yang terlibat dalam kes itu telah diturunkan pangkat atau digantung sementara oleh perkhidmatan hal ehwal dalaman polis.

Dalam satu insiden, suspek telah ditembak 15 kali selepas didakwa telah menembak ke arah polis, yang mana polis terbabit kemudian digantung bertugas selama 31 hari.

Guevarra tahun lalu memberitahu Majlis Hak Asasi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bahawa penilaian antara agensi mengenai 5,655 operasi antidadah maut sedang dilaksanakan. – AFP