Dakwaan Ronaldo digugurkan

LOS ANGELES, 23 JULAI – Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo tidak akan menghadapi apa-apa tuduhan terhadap dakwaan rogol di Las Vegas satu dekad yang lalu selepas pendakwa Amerika Syarikat (AS) berkata, mereka tidak mempunyai bukti yang cukup untuk meneruskannya.

Seorang peguam daerah di negeri Nevada mengatakan ia tidak akan mendakwa pemain bola sepak Portugis itu kerana ‘tidak dapat membuktikannya.’

Kathryn Mayorga, bekas model, mendakwa Ronaldo merogolnya di sebuah hotel di Las Vegas pada tahun 2009. Mantan penyerang Manchester United dan Real Madrid itu mencapai penyelesaian kewangan dengannya satu tahun selepas kejadian itu.

Dia sentiasa menafikan tuduhan serangan seksual, mengatakan perte-muan adalah atas persetujuan bersama.

Pejabat Peguam Daerah Clark County berkata ia telah menerima laporan daripada Mayorga, yang hanya dikenali sebagai ‘V’ pada 13 Jun 2009, melaporkan bahawa dia telah menjadi mangsa serangan seksual. Polis tidak dapat menjalankan ‘sebarang siasatan’ pada masa itu kerana dia enggan mengatakan siapa yang menyerangnya atau di mana ia berlaku.

Akibatnya, detektif tidak dapat mencari dan mendapatkan bukti forensik yang penting, dan video yang menunjukkan Ronaldo dan Mayorga bersama hilang, tambahnya.

Mayorga menghubungi polis pada bulan Ogos tahun lalu untuk meminta kes itu dibuka semula, di mana dia menamakan Ronaldo sebagai penyerang yang dikatakan itu. – AFP

Gambar fail pada 22 Januari 2019 menunjukkan reaksi Ronaldo tersenyum ketika hadir bagi perbicaraan di Madrid. Ronaldo tidak akan menghadapi tuduhan rogol di Nevada, kata pendakwa kelmarin. – AFP