‘Dakwaan salah laku hakim akan dikaji’

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Kerajaan akan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja mengenai dakwaan salah laku oleh hakim-hakim tertentu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, bagaimanapun, terma-termanya belum lagi diputuskan.

“Terpulanglah kepada suruhajaya siasatan diraja itu kelak untuk menyiasat dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh hakim berkenaan. Kita akan menubuhkan suruhajaya siasatan diraja, terma-termanya akan ditentukan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta memberi komen terhadap beberapa gesaan supaya kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja ekoran pendedahan oleh hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dalam afidavitnya setebal 65 halaman pada 14 Februari, yang mendakwa berlaku penipuan oleh hakim-hakim kanan tertentu dengan peguam-peguam persendirian untuk menipu wang kerajaan menerusi kontrak-kontrak yang dibatalkan.

Hakim itu juga mendakwa terdapat campurtangan hakim dalam keputusan rayuan kes hasutan mendiang Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani buku pelawat ketika membuat lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, kelmarin. – Bernama

Sementara itu, Dr Mahathir tidak kelihatan tersinggung mengenai dakwaan bahawa akan ada usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau sebagai perdana menteri apabila Dewan Rakyat mula bersidang 11 Mac ini.

Jika betul ia dibuat, beliau akan melihat sama ada PAS akan menyokongnya atau tidak.

“Saya tunggulah kalau ada undi tak percaya, saya tengok PAS sokong saya atau tidak,” katanya.

Isnin lepas, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan telah mengatakan sokongan parti itu terhadap kepimpinan Dr Mahathir jika berlaku pengkhianatan parti komponen PH terhadap Perdana Menteri.

Dr Mahathir turut memberitahu media bahawa lawatan rasmi beliau ke China April ini adalah untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai projek di bawah inisiatif ‘Satu Jalur Satu Jalan’. – Bernama