Dakwaan sistem kesihatan di Sabah lumpuh tidak benar

PUTRAJAYA, 26 OKT – Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyangkal dakwaan bahawa sistem kesihatan di Sabah semakin lumpuh ekoran peningkatan mendadak kes COVID-19 di negeri itu.

Beliau berkata perkara itu tidak benar, malah isu kewangan tidak pernah timbul dalam usaha mena-ngani wabak tersebut memandangkan Bahagian Kewangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah meluluskan banyak peruntukan termasuk perolehan darurat yang diperuntukkan kepada Sabah.

“Sekarang ini, ada anggapan daripada masyarakat seolah-olah kita tidak melaksanakan atau sistem kesihatan akan lumpuh, tetapi ia tidak benar.

“Dari segi kemampuan hospital (di Sabah), penggunaan katil hanya 52 peratus dan ICU (Unit Rawatan Rapi) mempunyai 128 katil dengan penggunaan 60 peratus. Kita juga ada 26 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah iaitu untuk rawatan kes tahap satu dan dua.

“Sekarang, kami sedang pertimbangkan kepada pesakit tahap tiga yang stabil dan tidak mempunyai risiko boleh juga dirawat di pusat kuarantin. Kami juga sedang melihat, enam lagi pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah jika ada keperluan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di KKM di sini hari ini.

Sebuah portal berita melaporkan sistem kesihatan di Sabah yang masih ketinggalan dari segi infrastruktur dan kekurangan pakar serta peralatan perubatan perlu ditambah baik terutama dalam menangani krisis pandemik COVID-19 di negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham menjelaskan peruntukan kecemasan kepada Sabah sebanyak RM30 juta juga sudah disalurkan kepada negeri itu. – Bernama

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Bernama