DAKWAH adalah mengajak kepada perintah Allah dan Rasul. Dakwah bererti mengajak, memanggil dan mengundang. Dalam Al-Quran kalimah dakwah ditemukan 198 kali menunjukkan kewajipan dakwah tidak berlaku secara berkelompok, tetapi meliputi setiap Muslim. Semua Muslim diseru menyebarkan dakwah.
Dakwah adalah tugas bersama semua umat Islam, bukan sekadar tugas pendakwah atau ustaz yang tampil di televisyen, radio, masjid, surau atau media massa. Secara umumnya, aktiviti agama dilakukan di masjid atau surau dan golongan yang tertarik untuk menyertai aktiviti itu adalah golongan ‘beragama’ juga, seolah-olah dipandang ‘tertutup’ untuk mereka yang bukan Islam atau Muslim yang jauh daripada Islam.
Sukar menarik minat golongan ini hadir ke masjid dan surau bagi mendekati Islam. Malah, wujud tanggapan masjid dan surau hanya sesuai untuk orang tua sahaja.
Allah SWT berfirman mafhumnya: “Dan hendaklah ada kalangan kamu yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikianlah orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran: 104).
Dakwah tidak hanya terhad kepada seruan secara lisan, tetapi harus menggunakan media terkini asalkan tidak bercanggah syariat Islam. Perkembangan teknologi mencorak pemikiran masyarakat ke arah menerima sesuatu maklumat secara tepat, praktikal dan mudah. Kurun ke-21 ini disebut sebagai abad masyarakat pasca moden, masyarakat pasca industri dan masyarakat bermaklumat.


Kuasai teknologi
Apapun istilahnya, masyarakat didominasi teknologi komunikasi. Justeru, dakwah perlu selari dengan perkembangan pesat teknologi hari ini. Golongan pendakwah perlu meningkatkan kemahiran menguasai setiap bidang ilmu khususnya laman sosial baharu hari ini. Ia perlu berperanan sebagai ejen dakwah.
Produk dakwah diterbitkan dengan jelas, mudah difahami serta lebih kreatif dan inovatif. Inisiatif gerak kerja dakwah melalui tekno daie dan dakwah siber melalui perfileman, pengiklanan, hiburan, humor dan sebagainya, amat membantu dalam penyampaian mesej dakwah secara berkesan. Pendekatan digunakan menyentuh realiti kehidupan masyarakat dan menjawab persoalan semasa masyarakat dalam institusi kekeluargaan, pengukuhan jati diri remaja, hubungan pelbagai kaum antara agama, resam budaya, muamalat, sistem ekonomi semasa serta pendidikan berbentuk Islam, semuanya ditonjolkan secara santai yang memperlihatkan Islam dari sudut universal dan praktikal.
Sirah merakamkan pendekatan santai Rasulullah SAW menyantuni masyarakat gelandangan di sudut pasar Kota Madinah Al-Munawwarah. Diriwayatkan setiap orang yang menghampiri pengemis Yahudi buta itu, akan diingatkan: “Wahai saudara-saudari, jangan dekati Muhammad, dia orang gila, pembohong, tukang sihir. Apabila mendekatinya, kamu semua akan dipengaruhinya.”
Namun, setiap pagi Rasulullah SAW membawa makanan dan tanpa berkata sepatah kata, Baginda menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun dia selalu berpesan kepada sesiapa sahaja supaya tidak mendekati orang bernama Muhammad. Rasulullah SAW melakukannya hingga menjelang kewafatan Baginda. Selepas Baginda wafat, tiada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis buta itu.
Suatu hari Saidina Abu Bakar RA berkunjung ke rumah Sayyidatina Aisyah RA. Beliau bertanya: “Wahai anakku, adakah sunnah kekasihku (Rasulullah) yang belum ayah lakukan?” Aisyah RA menjawab: “Wahai ayahku, engkau adalah seorang ahli sunnah, hampir tiada satu pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sunnah sahaja.” “Apakah itu?”: Abu Bakar RA bertanya. Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawa makanan untuk seorang pengemis Yahudi yang buta.
“Dia ada di sana,” Sayyidatina Aisyah RA berkata. Keesokan harinya Saidina Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Beliau mendekati pengemis itu dan memberi makanan kepadanya. Ketika Saidina Abu Bakar RA mula menyuapnya, si pengemis itu marah dan berteriak: “Engkau siapa! Saidina Abu Bakar RA menjawab: “Saya orang yang biasa. “Bukan! engkau bukan orang yang biasa mendatangiku,” jawab si pengemis tua itu. Apabila dia datang tidak susah tangan ini memegang dan mulut ini mengunyah.
“Orang yang biasa mendatangiku selalu menyuapku dengan lembut,” pengemis itu meneruskan kata-katanya. Saidina Abu Bakar RA tidak dapat menahan air mata. Beliau menangis sambil berkata kepada pengemis itu: “Saya memang bukan orang yang biasa datang kepadamu. Saya adalah sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Nabi Muhammad SAW.
Pengemis itu turut menangis selepas mendengar cerita Saidina Abu Bakar RA. Kemudian dia bertanya: “Benarkah begitu? Selama ini aku menghinanya, memfitnahnya, namun dia tidak pernah memarahiku. Malah dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi. Dia begitu mulia.” Pengemis buta itu akhirnya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Saidina Abu Bakar RA.
Islam budaya kehidupan
Lihatlah, bagaimana kesabaran dan kasih sayang mampu membawa seseorang ke jalan kebenaran. Tanpa kesabaran dan kasih sayang, pasti sukar untuk berdakwah. Inilah akhlak Rasulullah SAW yang menggambarkan Islam sebagai budaya kehidupan.
Dakwah adalah amar makruf dan nahi mungkar, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada kejahatan. Inilah hubungan ta’awuniyyah (tolong-menolong) sesama individu, masyarakat dalam mengerjakan kebaikan dan takwa, menolak sebarang perlakuan yang membawa dosa dan maksiat dengan segala kemampuan yang ada. – Agensi