Dakwah guna teknologi relevan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Para pendakwah atau daie disaran menggunakan teknologi, Bahasa Inggeris dan berdakwah dalam aliran media serta pemikiran kontemporari bagi memantapkan lagi strategi dakwah yang lebih tajam, relevan dengan perubahan semasa dan cakna masyarakat.

Melalui integrasi dan ilmu praktikal ini, ia diharapkan dapat memperkasa para daie ke arah kemahiran metodologi dakwah, kemahiran bahasa dalam penyampaian dakwah dan medium teknologi.

Perkara itu ditekankan oleh Pegawai Ugama Kanan Pusat Dakwah Islamiah, Haji Ahmad Abussalam bin Haji Abdul Rahman yang juga pengerusi bersama Bengkel Memantapkan Dakwah anjuran bersama Fakulti Usuluddin Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Pusat Dakwah Islamiah Kementerian Hal Ehwal Ugama di Dewan Tarbiah universiti tersebut.

Menurutnya lagi, bengkel yang berakhir hari ini juga diharapkan dapat meningkatkan kemahiran dan kewibawaan para pendakwah tempatan.

Turut hadir di penutup bengkel dan menyampaikan ceramah ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

ATAS& BAWAH: Dr Haji Adanan semasa menyampaikan sijil kepada para peserta bengkel berkenaan.

Beliau menyampaikan ceramah bertajuk ‘Meningkatkan Kemahiran Dakwah Relevan dengan Perkembangan Semasa’ yang menumpukan amalan cara solat Mazhab Syafie, mengukuhkan sahsiah diri, kerohanian, intelek dan teknik daie serta fokus isu-isu masyarakat dalam dakwah dan cadangan pendekatan dakwah yang berkesan.

Dr Haji Adanan turut menekankan kepentingan sentiasa merujuk sumber paling utama dalam kehidupan iaitu Al-Quran dan sunah, memahami isi dan mengamalkan kandungannya serta melihat akhlak Rasulullah SAW sebagai cerminan dalam semua aspek hidup bermasyarakat, berkeluarga, kepimpinan dan sebagainya.

Manakala wakil peserta bengkel, Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang dalam ucapan ringkasnya menjelaskan bengkel yang diungkayahkan telah menyuntik semangat peserta daie untuk terus berdakwah menuju jalan Allah.

Menurutnya, bengkel juga menekankan kepentingan me-ngenal pasti rukun-rukun dakwah secara jelas, kaedah dan mesej semasa berdakwah, ketepatan isi kandungan dakwah, mengetahui syajaratul ilmu, kepentingan kitab Turath dan memahami aliran pemikiran semasa serta banyak lagi.

Acara diakhiri dengan majlis penyampaian sijil kepada para peserta dan tetamu kehormat.