Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    ‘Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain’

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN,21 OKT – Rezeki adalah antara perkara yang menjadi rahsia Allah, tidak ada seseorang di dunia ini mengetahui rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya, sama ada banyak atau sedikit, tetapi apa yang pasti ialah setiap makhluk yang hidup di atas muka bumi ini telah dijamin rezekinya oleh Allah.

    Rezeki tidak hanya menjurus kepada wang ringgit semata-mata tetapi pengertiannya amat luas dan setiap manusia itu dikurniakan rezeki dengan bentuk yang berbeza-beza antara satu dengan yang lain.

    Khatib menegaskan perkara itu dalam khutbah Jumaat hari ini dan seterusnya menjelaskan, sihat tubuh badan, keluarga bahagia, dikurniakan anak, mempunyai tempat berteduh dan dikelilingi orang baik juga satu rezeki. Allah menjadikan semua orang kaya dengan rezeki yang tersendiri, tetapi terkadang kita sendiri seakan-akan tidak nampak dan kurang menyedarinya. Oleh itu, kita selalu merasakan rezeki itu hanya dalam bentuk wang ringgit dan material saja.

    Khatib turut mengingatkan, apabila Allah memberi harta dan rezeki yang lebih, ia bukanlah untuk bermegah-megah dan mewah berbelanja tetapi untuk kita lebih memberi kerana setiap rezeki atau harta yang diperoleh itu terdapat juga hak orang lain di dalamnya.

    “Rezeki harta yang diperoleh bukan hanya digunakan untuk kepentingan diri sendiri tetapi boleh dimanfaatkan atau diinfakkan ke jalan yang diredai Allah iaitu dengan cara bersedekah, menderma, mengeluarkan zakat, berwakaf dan lainnya,” ujar khatib. Dalam agama Islam juga menggalakkan untuk bersedekah dan bantu-membantu antara satu dengan yang lain, anjuran membelanjakan harta ke jalan Allah ada dijelaskan dalam Al-Quran. Di samping itu, agama Islam juga menggalakkan umatnya untuk sentiasa bersedekah, membiasakan diri dengan bersedekah, kerana ia adalah kunci utama diperluaskan rezeki oleh Allah.

    Ini kerana semakin banyak wang, harta, ilmu atau khidmat yang disedekahkan, akan bertambahlah rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada kita.

    Pahala dan keutamaan bersedekah itu sangat besar dan banyak, ini jelas terbukti dengan banyaknya dalil dari Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang banyak menyebutkan mengenai ganjaran dan kelebihan bersedekah, jelas khatib.

    Diantaranya ialah mendinding diri daripada api neraka dan Allah akan menggantikan harta orang yang bersedekah serta pahala sedekah jariah itu sentiasa mengalir walaupun setelah orang itu meninggal dunia.

    Sehubungan itu, khatib menyeru untuk merebut peluang keemasan itu kerana bersedekah umpama pelaburan yang tidak akan mengalami kerugian walau sedikit pun, malah ia adalah sangat menguntungkan.

    Salah satu saluran bersedekah ialah perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dibukakan kepada orang ramai mulai 14 Mac hingga 13 Disember.

    Perkhidmatan itu memberi peluang kepada orang Islam berinfak dan membelanjakan harta dengan niat sebagai ibadat dan melipatgandakan amal kebajikan bagi meraih ganjaran pahala. Pembinaan masjid merupakan satu ibadat yang besar pahalanya, segala sumbangan membiayai dan membina masjid merupakan satu pelaburan amal dan saham akhirat, jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...