Dalami ilmu pengurusan projek

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Seramai 31 orang yang terdiri daripada ahli Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek Negara Brunei Darussalam (PUJA) dan profesional daripada sektor awam dan sektor pembinaan telah menyertai program latihan selama dua hari bertajuk Project Management: Foundation & Practices yang dikendalikan oleh PUJA Academy Sdn Bhd (PASB) dengan PMO Innovations Sdn Bhd, Malaysia selaku penyedia kursus, baru-baru ini.

Program latihan itu mengetengahkan William Wooi Ming sebagai tenaga pengajar, yang mana beliau merupakan seorang profesional pengurusan projek yang mempunyai pengalaman lebih 22 tahun dalam pengurusan projek dan berkhidmat dengan syarikat-syarikat antarabangsa termasuk Nortel, Intel dan Motorola.

Program itu dikendalikan dengan tujuan untuk membantu para peserta supaya mereka boleh merancang dan mengurus projek-projek melalui sepanjang kitaran hayat projek serta untuk lebih memahami akan peranan, tanggungjawab dan nilai-nilai individu dalam pelbagai projek untuk mencapai matlamat organisasi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh.

PASB dengan PMO Innovations Malaysia akan menawarkan Bootcamp Profesional Pengurusan Projek (PMP) kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan kelayakan PMP menerusi Institut Pengurusan Projek (PMI).

PASB akan terus secara aktif menawarkan kursus-kursus dan webinar maya untuk meningkatkan kompetensi ahli-ahli PUJA dan industri pembinaan dengan misinya untuk mempromosikan kesedaran, memperbaiki ilmu pengetahuan dan meningkatkan
pengalaman.

Peserta-peserta yang menyertai program latihan mengenai pengurusan projek yang dikendalikan oleh PASB, baru-baru ini. – Gambar serahan PUJA