Dalang pemerdagangan seks dipenjara 40 tahun

SEOUL, 26 NOV – Sebuah mahkamah di Seoul pada hari ini menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun ke atas dalang satu daripada sindiket pemerdagangan seks terbesar di Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.

Mahkamah Pusat Daerah Seoul mendapati Cho Ju-bin bersalah melanggar undang-undang untuk melindungi kanak-kanak dan remaja bawah umur daripada penderaan seksual dan mengendalikan rangkaian jenayah untuk mengaut keuntungan dengan menghasilkan dan menjual video penderaan tersebut.

“Tertuduh telah menyebarkan secara meluas isi kandungan video yang dihasilkannya dengan memikat dan mengancam ramai mangsa,” kata mahkamah.

Awal tahun ini, tertuduh dikenakan 14 tuduhan jenayah. Cho, 25, dituduh melakukan  jenayah itu dari Mei hingga Februari tahun lalu. Tertuduh dan rakan subahatnya memeras ugut 74 wanita, termasuk 16 kanak-kanak dan remaja bawah umur, untuk merakamkan kandungan penderaan seksual dan menjualnya kepada anggota Baksabang, sebuah laman sembang dalam talian di Telegram.

Seorang mangsa mengatakan, Cho dan rakan subahatnya sangat kejam dan wajar dipenjara selama 2,000 tahun. – Bernama

Gambar fail menunjukkan Cho Ju-bin (tengah), ketua sindiket peras ugut seksual dalam talian Korea Selatan, dikelilingi oleh wartawan semasa berjalan keluar dari balai polis untuk dibawa ke pejabat pendakwa untuk siasatan lanjut di Seoul, Korea Selatan. – AP