BANGKOK, 24 April – Raja dadah Malaysia yang digelar ‘Mr T’ mungkin bukan dalang sebenar sindiket dadah antarabangsa terbesar yang ditangkap polis Thailand beberapa hari lepas, menurut Biro Penindasan Narkotik (NSB), Thailand.
“Mr T, yang ditahan di Lapangan Terbang Hatyai sejurus tiba dari Chiang Rai, Rabu lepas, mungkin orang kanan kepada dalang sebenar sindiket itu, yang kini sedang giat diburu pihak berkuasa Thailand berikutan penahanan leftenan kanannya baru-baru ini.
“Kami (pihak berkuasa Thailand) akan mendapatkan dalang sebenar,” kata Timbalan Ketua NSB, Mejar Jen Supakit Srijantaranon kepada Bernama baru-baru ini, dan menambah dalang sebenar semakin terjerat berikutan penahanan orang kanannya terutama Mr T.
Selain Mr T yang berasal dari Johor, pihak berkuasa Thai juga menahan seorang lelaki warga Taiwan dan dua wa-nita Thailand.
Supakit berkata pihak berkuasa Thailand mula mengesyaki penglibatan seorang lagi figura lebih besar selain Mr T selepas membuat perbandingan asetnya dengan nilai dan kuantiti dadah yang diseludup sindiket itu ke Malaysia sebelum ini. Beliau berkata sindiket itu berjaya menyeludup lima percubaan ke Malaysia sebelum gagal pada percubaan keenam Mac tahun lepas, apabila pihak berkuasa Thailand memintas 282kg ice di Sadao dan menahan dua lelaki rakyat Malaysia.

Supakit berkata dua lelaki warga Malaysia berkenaan yang ditahan, telah mendedahkan operasi sindiket tersebut serta pembabitan Mr T semasa soal siasat, yang dakwa mereka adalah pemilik dadah yang diseludup itu.
Pihak berkuasa percaya kehadiran Mr T di Chiang Rai sebelum penahanannya adalah untuk membuat pesanan untuk konsainan dadah yang lain.
“Setiap percubaan menyeludup dadah membabitkan ratusan kilogram ice, bernilai lebih daripada 1 bilion Bath (kira-kira RM126 juta),” menurut beliau dan menambah Mr T terus membisu apabila ditanya oleh pihak berkuasa mengenai sindiket itu dan peranannya selaku orang kanan. – Bernama