Sunday, January 26, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dalang utama rampasan kuasa dipenjara

    CARACAS, 21 Jun – Lima anggota bersenjata Venezuela dan tiga orang awam telah dipenjara kelmarin selepas didapati bersalah kerana terlibat dalam merancang rampasan kuasa ke atas Presiden Nicolas Maduro, menurut kumpulan hak asasi banduan.

    Mahkamah tentera telah menjatuhi hukuman penjara antara tiga dan enam tahun, menurut pengumuman kumpulan Foro Penal.

    Maduro secara terbuka mengecam rancangan rampasan kuasa yang berlaku pada Februari 2015 dan menurutnya, ia telah disokong oleh pihak pembangkang dan didana oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS).

    Presiden sosialis menyifatkannya sebagai ‘rampasan kuasa biru’, merujuk kepada warna uniform tentera udara Venezuela, menurutnya, rancangan itu telah digagalkan.

    Gambar fail pada 4 Februari 2016 menunjukkan Nicolas Maduro (kiri) semasa menghadiri majlis memperingati ulang tahun ke-24 rampasan kuasa Hugo Chaves ke atas pentabdiran Carlos Andres Perez. Dalang utama yang merancang untuk rampasan kuasa ke atas Maduro pada 2015 telah dihukum penjara kelmarin. – AFP

    Pada masa itu, presiden sosialis berkata rancangan itu melibatkan pengeboman istana presiden Miraflores, beberapa bangunan kerajaan yang lain dan ibu pejabat televisyen negara.

    Jabatan Negara AS menafikan tuduhan itu.

    Kumpulan hak asasi yang lain, Keadilan Rakyat Venezuela berkata, kira-kira 100 anggota bersenjata Venezuela telah dipenjara atas sebab politik.

    Maduro mentadbir sejak kemerosotan ekonomi pada 2013, di tengah-tengah kejatuhan harga minyak yang menyebabkan kekurangan makanan asasi dan perubatan dan memaksa beribu-ribu orang melarikan diri. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda