Dalglish keluar hospital, puji layanan kakitangan perubatan

LONDON, 12 APRIL – Legenda Liverpool, Kenny Dalglish yang diuji positif menghidapi koronavirus telah dibenarkan keluar dari hospital kelmarin dan memuji perkhidmatan kakitangan perubatan sebagai ‘sangat cemerlang’.

Dalglish, 69, didapati menghidapi virus tersebut selepas dimasukkan ke hospital Rabu lalu untuk menerima rawatan dari jangkitan yang berasingan yang mana memerlukan antibiotik dalam saluran darah.

“Mereka (kakitangan hospital) ’sangat cemerlang,” kata Dalglish memberitahu Sunday Post.

“Sebagai sebuah negara, kita sangat beruntung untuk memiliki mereka dan saya harap mereka sihat kerana mereka bekerja tanpa penat lelah untuk membantu negara kita mengharungi pandemik ini.”

Dia menambah: “Ramai orang fikir kerana nama saya, saya menerima penjagaan yang terbaik tetapi setiap pesakit di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) mendapat penjagaan yang terbaik.”

Jumaat lalu, keluarga Dalglish berkata dia telah disahkan positif COVID-19 meskipun sebelum ini tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit.

Kelmarin, anak lelaki Dalglish mengucapkan terima kasih kepada dunia bola sepak atas pesanan ‘rendah hati’ daripada peminat.

Paul Dalglish, yang juga merupakan bekas pemain, memberitahu menerusi Twitter: “Ini bukanlah tempatnya untuk memberikan komen atas orang tua saya, dia boleh melakukannya sendiri dalam masa terdekat ini.

“Sangat rendah hati pesanan dari penyokong semua pasukan.

“Saya pasti kita semua bersetuju bahawa ini lebih penting dari bola sepak dan kita bersatu untuk menyokong NHS. Sentiasa menjaga keselamatan buat semua.”

Penjaga gawang Liverpool, Alisson Becker berkata menerusi Twitter, ‘Kasih sayang dari keluarga Becker buat Kenny Dalglish!’

Bekas pemain pertahanan Liverpool, Jamie Caraggher berkata dalam Twitter: ‘Berharap Kenny akan pulih dari virus dengan segera.”

Dalglish pernah memenangi kejuaraan liga Scotland bersama Celtic sebagai pemain dalam empat tempoh berbeza sebelum dibeli oleh Liverpool pada tahun 1977.

Di Anfield, dia berjaya meraih lapan kejuaraan liga Inggeris, piala FA, lima Piala Liga, dan tiga Piala Liga-Juara-Juara sebagai pemain dan dua kali ketika menjadi pengurus.

Ketika kariernya bersama Liverpool, dia berjaya menjaringkan 172 gol dalam 515 perlawanan.

Sebagai salah seorang dari era emas Liverpool pada tahun 1970an dan 1980an, Dalglish mendapat pujian kerana menyokong keluarga mangsa selepas 96 peminat terbunuh dalam tregedi Hillborough 1989.

Dia turut menjadi pengurus Blackburn ketika kejuaraan Liga Perdana Inggeris 1995.

Hampir 10,000 orang terkorban di Britain akibat wabak koronavirus. – AFP