Dalian perangi segera kluster baharu

BEIJING, 24 JULAI – Bandar hampir enam juta penduduk di China, hari ini meningkatkan ujian saringan COVID-19 bagi membendung kluster kes yang kecil, kata pihak berkuasa.

Bandar pelabuhan Dalian di wilayah Liaoning telah melaporkan tiga kes baru-baru ini, selepas tiada mencatatkan sebarang jangkitan selama hampir empat bulan.

Penularan baharu itu dikaitkan dengan sebuah syarikat pemprosesan makanan laut yang mengendalikan produk import.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Dalian, hari ini, bandar itu perlu ‘memasuki mod perang dengan pantas, bertindak habis-habisan, menggerakkan semua orang dan mengekang penularan epidemik berkenaan dengan tegas’.

Ia sekali gus mengumumkan pelaksanaan pendekatan baharu yang ketat, termasuk menjalankan ujian asid nukleik secara terus di lokasi terhadap setiap penumpang kereta api bawah tanah yang melalui tempat syarikat makanan laut terbabit.

Tadika dan taska ditutup, manakala sesetengah komuniti diletakkan di bawah perintah berkurung, menurut laporan akhbar Global Times.

Pihak berkuasa bandar itu juga memaklumkan, mereka akan melakukan ujian ke atas lebih 190,000 orang, termasuk pekerja di pasar raya, pasar borong dan gudang. – AFP