Dana anak yatim kumpul $96,878

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Sejumlah $96,878 telah berjaya dikumpulkan bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA) menerusi SMS Brunei Prihatin bagi DANA tahun 2019-2020 yang berjalan selama 184 hari dari 12 Disember 2019 hingga 12 Jun 2020.

Sehubungan itu, majlis penyampaian hasil kutipan berkenaan telah diadakan di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni menyerahkan sejumlah $85,686 yang berjaya dikutip daripada pelanggan DST.

Manakala itu, Pengarah Modal Insan Progresif Sdn Bhd, Awang Mohammad Yazdi bin Haji Yahya menyerahkan hasil kutipan daripada pelanggan Progresif berjumlah $11,192.

Awang Mohammad Yazdi menyerahkan sumbangan berjumlah $15,000 kepada Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua.
Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua menerima sumbangan sejumlah $85,686 yang dikutip daripada pelanggan DST yang diserahkan oleh Radin Sufri. – Gambar oleh Rokiah Mahmud

Majlis turut menyaksikan Radin Sufri dan Awang Mohammad Yazdi menyerahkan sumbangan daripada syarikat masing-masing kepada DANA iaitu sebanyak $10,000 daripada DST dan $3,808 daripada Progresif.

Tidak ketinggalan juga, Badan Kebajikan Pekerja Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKPYSHHB) turut menyumbangkan $500 untuk DANA yang disampaikan oleh Yang Dipertua BKPYSHHB, Awang Samsudin bin Haji Puasa.

Manakala itu, sumbangan berjumlah $500 daripada Tabung Derma Khairat Pekerja-pekerja Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TADEKHA) pula telah disampaikan oleh Ketua Jawatankuasa Pengurusan TADEKHA, Awang Ahmad Rithauddin bin Haji Sabtu.

Kesemua sumbangan tersebut diterima oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi.

Sepanjang kempen kutipan untuk DANA menerusi SMS berkenaan, DST dan Syarikat Progresif Sdn Bhd telah memberi kemudahan perkhidmatan SMS tanpa caj.

Manakala itu, Jabatan Radio dan Televisyen Brunei (RTB) bertindak sebagai penyalur maklumat kepada orang ramai melalui rangkaian radio dan televisyen RTB.