BERLIN, 22 Okt – Satu tabung yang disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan lebih daripada AS$1 bilion untuk 19 projek baharu bagi membantu negara membangun mengatasi perubahan iklim, kata pegawai semalam.
Ketika mesyuarat empat hari di Bahrain yang berakhir pada Sabtu lalu, pegawai yang menyelia Tabung Iklim Hijau juga bersetuju untuk mendapatkan dana baharu tahun depan kerana modal awalnya sebanyak AS$6.6 bilion akan digunakan tidak lama lagi.
Tabung yang berpangkalan di Korea Selatan, yang dianggap dana utama untuk program pembangunan berkaitan dengan iklim, pada asalnya bertujuan menerima lebih AS$10 bilion daripada negara kaya menjelang tahun 2018.
Namun keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menangguhkan AS$2 bilion daripada AS$3 bilion yang dijanjikan oleh pemimpin sebelumnya, Barack Obama, telah menyumbang kepada kekurangan aset yang diramalnya.
Pembiayaan yang diluluskan pada mesyuarat di Manama termasuk projek yang dikaitkan dengan tenaga geotermal di Indonesia, bandar yang lebih hijau di Eropah dan Timur Tengah, dan perlindungan untuk komuniti pantai di India.
Namun wakil berbalah mengenai satu permintaan daripada negara tuan rumah Bahrain untuk menerima pembiayaan bagi melindungi sumber air tawarnya.
Penyokong alam sekitar telah berkata negara Teluk boleh membayar projek itu sendiri dengan menggunakan wang yang diperoleh daripada simpanan minyak dan gas. Projek itu akhirnya diluluskan, tetapi hanya dengan jumlah AS$2.1 juta daripada AS$9.8 juta yang diminta oleh Bahrain.
Keputusan mengenai bidaan pembiayaan oleh China ditangguhkan selepas kebimbangan timbul dari Jepun dan AS tentang kemungkinan wang tersebut digunakan untuk membiayai penyelidikan dalam teknologi baharu. Perdebatan dalam tabung kadang kala memisahkan negara Barat dan ekonomi membangun yang besar seperti China, Mesir dan Arab Saudi. – AFP