Dana asing rekodkan RM247.1 juta

KUALA LUMPUR, 15 SEPT – Bursa Malaysia menyaksikan sedikit pemulihan minggu ini, mencatatkan aliran masuk dana asing bersih berjumlah RM247.1 juta dari Selasa hingga Khamis (10 hingga 12 September) berbanding aliran keluar dana asing bersih sebanyak RM198.0 juta dalam tempoh tiga hari yang sama minggu lepas.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur asing menyumbang 34.68 peratus bagi pasaran minggu ini, sementara institusi tempatan menguasai 45.84 peratus dan peruncit tempatan pada 19.48 peratus.

Bagaimanapun, institusi tempatan menjadi penjual bersih di FBM KLCI minggu ini, dengan aliran keluar berjumlah RM288.4 juta berbanding aliran masuk RM186.2 juta minggu lepas, manakala peruncit tempatan kekal sebagai pembeli bersih, mencatatkan aliran masuk sebanyak RM41.3 juta minggu ini daripada RM11 .9 juta minggu lepas.

“Trend itu selari dengan peningkatan prospek dalam rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang dijangka diadakan pada Oktober.

“Selain itu, China telah mengumumkan pengecualian tarif untuk beberapa produk diimport dari AS dan begitu juga AS telah menunda pelaksanaan tarif tambahan lima peratus ke atas import dari China ke 15 Oktober,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata Bank Pusat Eropah juga telah mengurangkan kadar kemudahan deposit mereka sebanyak 10 mata asas kepada -0.5 peratus dan memperkenalkan pengurangan kuantitatif sebanyak 20 bilion euro sebulan pada mesyuarat Majlis Gabenor pada Khamis.

“Ringkasnya, persekitaran luaran adalah menggalakkan, sekurang-kurangnya untuk jangka masa segera dan ini telah diterjemahkan kepada sentimen lebih baik dalam pasaran,” katanya. – Bernama