Dana Bantuan COVID-19 cecah lebih $14 juta

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Jumlah kutipan yang ada dalam akaun Dana Bantuan COVID-19 adalah berjumlah $14,355,701.72 setakat pukul 4:20 petang, 13 Jun.

Pengumuman jumlah kutipan berkenaan dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Beliau menyatakan bahawa Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengucapkan terima kasih atas sumbangan ikhlas orang ramai serta memaklumkan bahawa dana bantuan berkenaan akan terus dibukakan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Untuk makluman bersama, Jawatankuasa COVID-19 Relief Fund telah menyediakan senarai perkakas perubatan termasuk keperluan bagi Bangunan Pusat Pengasingan Kebangsaan di Daerah Tutong dan senarai berkenaan akan dikemaskinikan sebaik sahaja akaun berkenaan ditutup,” tambah beliau.