Dana bantuan COVID-19 menerusi sms

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Bagi membolehkan orang ramai untuk sama-sama menghulurkan sumbangan kepada Dana Bantuan COVID-19, Radio Televisyen Brunei (RTB) dan Modasys Technology Sdn Bhd melancarkan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) untuk membolehkan mereka membuat sumbangan kepada dana berkenaan bermula hari ini hingga 30 Jun.

Menerusi perkhidmatan SMS berkenaan, orang ramai boleh menghantar ucapan selamat atau tahniah, termasuk ucapan terima kasih dan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan (frontliner) yang menyumbangkan bakti menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kenyataan menjelaskan bahawa setiap SMS yang dikirimkan ke rangkaian-rangkaian radio RTB iaitu Nasional FM, Pilihan FM, Pelangi FM, Harmoni FM dan Rangkaian Nur Islam akan dikenakan bayaran sebanyak 50 sen.

Hasil kutipan daripada perkhidmatan SMS itu nanti akan disumbangkan sepenuhnya ke Dana Bantuan COVID-19.

Orang ramai bolehlah menghantar SMS ke 39111 (bagi semua pelanggan DST, Imagine dan Progresif) dengan menaip 923 <jarak> diikuti ucapan tidak melebihi 160 karakter bagi Nasional FM; taip 959 <jarak> diikuti ucapan tidak melebihi 160 karakter bagi Pilihan FM; taip 914 <jarak> diikuti ucapan tidak melebihi 160 karakter bagi Pelangi FM; taip 941 <jarak> diikuti ucapan tidak melebihi 160 karakter bagi Harmoni FM dan taip 933 <jarak> diikuti ucapan tidak melebihi 160 karakter bagi Rangkaian Nur Islam.