Dana bantuan kemanusiaan masih tidak mencukupi – PBB

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), AMERIKA SYARIKAT, 16 JULAI – PBB kini memerlukan dana tambahan sebanyak AS$3.6 bilion untuk Pelan Respons Kemanusiaan Globalnya bagi memerangi wabak koronavirus, memberi amaran kepada negara-negara maju kelmarin mengenai kesan yang mungkin dialami oleh negara-negara miskin dalam tempoh yang panjang jika tidak menerima bantuan yang selayaknya.

“Terdapat risiko tinggi negara berkenaan akan berdepan dengan pelbagai krisis kebuluran akhir tahun ini dan awal tahun depan. Kita perlu melabur sekarang untuk mencegahnya,” kata Mark Lowcock, setiausaha PBB untuk hal ehwal kemanusiaan pada sidang akhbar.

Selain Somalia, Sudan Selatan, Yaman dan Nigeria, yang telah lama berdepan dengan kekurangan makanan, dia menyatakan keprihatinan semakin meningkat terhadap Sudan, Zimbabwe dan Haiti.

Ia juga adalah bagi memerangi krisis kebuluran berikutan dengan kesan penularan wabak koronavirus dalam ekonomi, di mana dana tambahan akan dibiayai untuk membeli peralatan perubatan, kempen maklumat dan mewujudkan akses bantuan kemanusiaan di Afrika, Asia dan Amerika Latin.

“Sambutan setakat ini terhadap negara-negara maju… terhadap situasi di negara lain adalah sangat tidak memadai,” kata Lowcock.

“Masalah besar yang dihadapi dunia tidak dapat diatasi dengan dana yang sedikit dan hanya angan-angan sahaja.”

Rayuan ini dibuat kali ketiga selepas PBB melancarkan rancangannya untuk mengumpul dana pada Mac lalu, ketika ia berusaha mendapatkan sebanyak AS$2 bilion, menjadikan dana yang diperlukan ketika ini adalah AS$10.3 bilion. Sejak Mac, hanya AS$1.7 bilion yang telah disumbangkan.

Lowcock ketika bercakap dalam perbincangan Kongres AS dan Kesatuan Eropah menyatakan bahawa bantuan dari negara-negara Teluk sudah lama tertangguh.

“Kami ingin melihat negara-negara ini kembali memainkan peranan mereka seperti yang dilakukan tahun-tahun sebelum ini,” tambahnya. – AFP