Dana COVID-19 kumpul lebih $2 juta

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Sebanyak $2,176,801.31 telah berjaya dikumpulkan setakat 3:45 petang ini setelah Tabung COVID-19 Relief Fund diaktifkan semula pada 11 Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika mengumumkan jumlah terkini itu turut memaklumkan satu lagi akaun COVID-19 Relief Fund telah dibuka dengan kerjasama Bank Baiduri.

“Kerjasama itu dihasratkan dapat memberi pilihan kepada orang ramai dan syarikat-syarikat di negara ini untuk membuat sumbangan secara sukarela selain melalui akaun COVID-19 Relief Fund yang telah dibuka dengan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD),” ujar Yang Berhormat Dato semasa sidang media, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, sumbangan itu akan digunakan untuk membantu pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan membeli peralatan dan barangan keperluan dalam membendung penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

“Sumbangan bolehlah dibuat secara online ke dalam akaun Bank Baiduri seperti berikut bermula hari ini, 7 September 2021 dengan Nama Akaun: COVID-19 Relief Fund, Jenis Akaun: Current Account, Nombor Akaun: 00 135 554 583 95,” kongsinya.

“Bagi memastikan sumbangan tersebut digunakan selaras dengan penubuhannya, Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Jabatan Perbendaharaan akan mengawal dan mengeluarkan dana tersebut setelah mendapat kebenaran daripada saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan,” tambah beliau.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa mengumumkan jumlah terkini Tabung COVID-19 Relief Fund.