Dana mega bagi memperkasa ekonomi

BEIJING, 10 Julai – China akan menyalurkan dana sebanyak AS$20 bilion dalam bentuk pinjaman kepada negara-negara Arab bagi pembangunan ekonomi, kata Presiden Xi Jinping kepada para pegawai tertinggi Arab hari ini, ketika Beijing berusaha melebarkan pengaruhnya di Timur Tengah dan Afrika.

Wang itu akan memberi petanda bagi ‘projek yang akan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dan impak sosial positif di negara-negara Arab yang menghendaki keperluan bagi pembangunan semula,” kata Xi tanpa sebarang penjelasan lanjut.

Ia adalah sebahagian program khas China untuk ‘pembangunan istimewa’ dan ‘pemulihan semula industri’, kata Xi kepada para peserta semasa forum negara-negara Arab dan China di Dewan Besar Rakyat di Beijing.

Beijing turut bersedia menyalurkan dana sebanyak 1 bilion yuan lagi kepada negara-negara di rantau itu untuk “membangunkan kapasiti bagi mengekalkan kestabilan,” kata Xi, yang menggunakan istilah biasa yang dikaitkan berhubung pengawasan dan pemantauan.

Xi Jinping berjabat tangan bersama Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al Ahmad Al Sabah selepas menyaksikan satu majlis penandatanganan di Dewan Besar Rakyat di Beijing, kelmarin. – AFP

Sejak memegang tampuk kuasa, Xi telah mengendalikan usaha-usaha untuk mengembangkan pengaruh China di Timur Tengah dan Afrika, termasuklah pembinaan pangkalan tentera China di negara Liga Arab, Djibouti.

China juga telah menyediakan sejumlah dana besar kepada negara-negara Arab, di mana Djibouti sahaja berhutang kira-kira sebanyak AS$1.3 bilion, menurut anggaran yang dibuat oleh Inisiatif Penyelidikan Afrika China yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Kemurahan hati dari segi kewangan telah meningkatkan kebimbangan dalam dan luar negara mengenai kerentanan negara-negara miskin terhadap jumlah hutang yang besar seperti itu.

Tahun lalu, Sri Lanka terpaksa menyerahkan sebahagian besar kawalannya ke atas pelabuhan Hambantota kepada China selepas negara itu gagal membayar semula hutangnya kepada China. – AFP