Dana SRI pertama di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Standard Chartered Securities dengan kerjasama Allianz Global Investors telah memperkenalkan dana pelaburan mapan dan bertanggungjawab (SRI) pertama di Brunei.

Standard Chartered dalam kenyataannya di sini, menjelaskan bahawa dana kemapanan Allianz Global itu adalah tambahan terkini kepada barisan dana yang sedang diedarkan secara eksklusif oleh Standard Chartered Securities yang melabur ke dalam syarikat-syarikat berkualiti yang menjana pertumbuhan struktural dengan penilaian-penilaian menarik dan impak positif kepada masyarakat mengikut prinsip-prinsip alam sekitar, sosial dan pentadbiran (ESG).

Selain dana SRI, dana Emerging Market Equity High Dividend daripada Allianz Global juga diperkenalkan iaitu dana yang memfokuskan ke atas mencapai objektif-objektif dividen tinggi yang diperolehi daripada saham-saham pasaran baru muncul yang berkualiti tinggi.

Kenyataan menyatakan, Standard Chartered Securities dengan kerjasama Allianz Global Investors juga telah menganjurkan seminar dalam talian (webinar) untuk memperkenalkan dana-dana baharu berkenaan kepada klien-kliennya pada masa yang sama memberikan kemas kini pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Securities, Brenda Low dalam ucapan alu-aluannya semasa webinar berkenaan berkata, “Standard Chartered telah lama komited kepada kewangan mapan. Pendekatan kami menggabungkan dua tema.

“Pertama, kami percaya dengan kepentingan menjadi sebuah institusi kewangan yang bertanggungjawab menerusi pengurusan potensi impak negatif bagi aktiviti-aktiviti kami dengan budaya risiko ESG yang kuat.

“Kedua, kami juga percaya terhadap kuasa kewangan untuk memangkin impak positif ke atas alam sekitar dan masyarakat kita. Dengan data-data lebih baik daripada syarikat-syarikat, digabungkan dengan penyelidikan dan analitis ESG yang lebih baik, kami melihat cara-cara yang bersistematik dan relevan dari segi kewangan kepada pelaburan ESG,” ujarnya.

Beliau seterusnya menjelaskan, pelaburan ESG, apabila digabungkan ke dalam pelan pelaburan yang jelas dan jangka masa panjang, boleh menjadi alat berkuasa untuk menangani beberapa cabaran paling mendesak dunia, sementara membolehkan para pelabur mencapai matlamat kewangan peribadi mereka.

Kenyataan menyatakan, semasa webinar berkenaan, Allianz Global Investors menyediakan kemas kini situasi pasaran semasa, di samping pengenalan kepada ESG.

Brenda Low menyampaikan ucapan alu-aluan semasa webinar berkenaan. – Gambar serahan Standard Chartered