Dana sumbang $1,622,250 bagi anak yatim

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Dis – Jumlah keseluruhan sumbangan Pembelian Peralatan dan Keperluan Persekolahan Anak-anak Yatim bagi 2020 yang disumbangkan oleh Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA) kepada 3,605 orang anak yatim di seluruh negara adalah sebanyak $1,622,250.

Menurut pihak DANA, jumlah ke-seluruhan sumbangan yang disampaikan kepada anak-anak yatim di Daerah Brunei dan Muara yang berdaftar di Sekretariat DANA adalah sebanyak $1,132,200.

Sehubungan itu, DANA, hari ini, telah mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Pembelian Peralatan dan Keperluan Persekolahan bagi seramai 2,516 orang anak-anak yatim di Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Dewan Bridex 2, Kampung Jerudong.

Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan kupon pembelian peralatan dan keperluan persekolahan ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA.

Turut hadir pada majlis berkenaan dan sama-sama menyampaikan kupon-kupon ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku ahli Lembaga Pemenang Amanah DANA; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku ketua pegawai eksekutif DANA dan Penolong Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Haji Puasa bin Haji Jumat.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua menyampaikan kupon kepada salah seorang penerima.
ATAS & BAWAH: Dr Nor Imtihan dan Haji Puasa (gambar kanan) menyampaikan kupon-kupon pembelian peralatan dan keperluan persekolahan kepada para penerima.

Dr Nor Imtihan dalam kata alu-aluannya berkata, nilai kupon yang diterima oleh setiap seorang anak yatim adalah berjumlah $450 yang mana sumbangan itu diharap tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak demi menjaga kepentingan pendidikan dan kesejahteraan anak-anak yatim.

“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu memenuhi keperluan anak yatim dalam pembelian peralatan persekolahan seperti pembelian buku teks dan buku kerja, peralatan tulis sekolah, pakaian seragam sekolah, kasut sekolah, keperluan sukan dan sebagainya,” tambahnya.

Beliau turut berharap pemberian kupon itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban perbelanjaan persekolahan yang ditanggung oleh ibu atau penjaga anak yatim terutama pada awal penggal musim persekolahan.

Kupon berkenaan boleh digunakan di 25 buah kedai yang menjual peralatan persekolahan dan juga barangan kanak-kanak yang belum bersekolah yang telah dikenal pasti oleh pihak DANA.

Pada masa yang sama, jelasnya, sebanyak 14 buah kedai juga telah bersetuju untuk menyumbangkan seba-nyak lima peratus daripada hasil jualan mereka kepada DANA.

Kupon-kupon berkenaan sah ditukarkan atau digunakan di 25 buah syarikat yang membekalkan barang-barang yang telah dikenal pasti oleh DANA yang terletak di keempat-empat buah daerah, iaitu kedai-kedai yang membekalkan buku-buku latihan, buku-buku kerja, peralatan tulis, pakaian sekolah, beg dan kasut sekolah serta kedai-kedai yang membekalkan barang-barang keperluan harian kanak-kanak bagi anak yatim yang belum bersekolah.

Sumbangan itu dihasratkan bagi memberi galakan dan kesedaran dalam kalangan anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan dalam kehidupan mereka di masa hadapan dan seterusnya memberi dorongan kepada mereka untuk mempertingkatkan pencapaian pendidikan mereka.

Bagi ibu dan penjaga pula, sumbangan itu dihasratkan bagi meringankan bebanan perbelanjaan yang ditanggung khususnya dalam menyediakan keperluan anak-anak mereka menjelang penggal awal persekolahan 2020.

Adalah diharapkan bantuan seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak yatim dan ibu serta penjaga mereka.

Sumbangan seumpamanya juga telah disampaikan kepada seramai 161 orang anak-anak yatim di Daerah Temburong pada 10 Disember lalu yang keseluruhannya berjumlah $72,450. Penyampaian kepada anak-anak yatim di Daerah Belait akan diadakan pada 14 Disember bagi seramai 406 orang anak yatim dan bagi Daerah Tutong akan diadakan pada 17 Disember untuk seramai 522 orang anak yatim.

Pada majlis berkenaan, para penerima sumbangan menyatakan perasaan syukur dan merakamkan penghargaan kepada pihak DANA atas pemberian sumbangan berkenaan.
Salah seorang penerima dari Kampung Bebatik Kilanas, Awang Muhammad Raziq bin Nasruddin menyatakan perasaan syukur atas sumbangan berkenaan dan menyatakan sumbangan itu akan digunakan untuk mendapatkan barangan keperluan persekolahannya di mana beliau akan memulakan pengajian Tahun 11 pada 2020.

Manakala itu, Awang Muhammad Afifi Fariduddin bin Haji Abdul Gani dari Kampung Masin juga akan memulakan pengajian dalam Tahun 11 di mana beliau menyatakan bahawa sumbangan itu setentunya dapat membantunya untuk mendapatkan keperluan persekolahan dan juga dapat menjadi pembakar semangat baginya untuk berusaha ke arah mencapai cita-citanya.