Dana terima sumbangan $60,300

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA) telah menerima sumbangan berjumlah $60,300 daripada 72 orang ahli Persatuan Fu Zhou Shiyyi (Brunei) pada majlis penyampaian sumbangan bagi DANA yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.

Kesemua sumbangan berkenaan diterima oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA bagi pihak DANA.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku ketua pegawai eksekutif DANA; Pengerusi Fu Zhou Shiyyi, Jackson Ting Jack Hing dan Timbalan Pengerusi, Dr Andy Lau Sie Chuong.

Majlis dimulakan dengan penyerahan cek berjumlah $60,300 daripada Persatuan Fu Zhou Shiyyi yang disampaikan oleh Jackson Ting dan Dr Andy Lau kepada Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua.

DANA sangat menghargai sokongan dan derma daripada para dermawan bagi sama-sama membantu DANA dalam usahanya untuk mempertingkatkan kesejahteraan hidup anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan bergambar ramai dengan ahli-ahli Persatuan Fu Zhou Shiyyi dalam majlis yang berlangsung di Dewan Serba guna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi (kanan) menerima sumbangan Persatuan Fu Zhou Shiyyi yang disampaikan bersama oleh Jackson Ting (tengah) dan Dr Andy Lau (kiri).