Dani Ahmad keluarkan single terbaharu

Oleh Imelda Groves HA

SEJAK tujuh tahun bekerja keras menghasilkan lagu, tahun ini Dani Ahmad akan menghasilkan lagu terakhirnya bagi album 7 Cerita Kehidupan iaitu sebuah album yang mengumpulkan kesemua lagu-lagu beliau. Itulah perancangan Dani Ahmad ketika ditemubual sejurus selepas beliau melancarkan muzik video terbaharunya ‘Dunia Terindah’ yang diadakan di Jerudong, baru-baru ini.

Dani Ahmad menceritakan bahawa setiap tahun beliau menghasilkan sebuah lagu dan tahun ini adalah masuk tahun ketujuh beliau berkecimpung dalam dunia nyanyian.

Menurut beliau tajuk lagu terakhir ini akan dimaklumkan melalui media-media sosial nanti dan beliau benar-benar berharap agar lagu terakhir ini dapat diterima ramai sama seperti lagu hits yang menjadikan beliau dikenali ramai bertajuk ‘Tanda-Tanda Cinta.’

Lagu ‘Tanda-Tanda Cinta’ ini adalah nyanyian berduet beliau bersama Abby Iskandar dan juga pernah dijadikan lagu kepada OST Drama Di menantu mama 2, menjadikan beliau diundang ke beberapa acara besar seperti Rapsodi dan banyak lagi.

Walaupun lagu pertama beliau yang dihasilkan pada tahun 2013 kurang mendapat sambutan tapi beliau tidak berputus asa dan terus berusaha untuk menghasilkan lagi lagu-lagu terbaharu di samping meningkatkan diri beliau, sesuai dengan trend lagu-lagu terkini.

Ditanya apakah nasihat beliau mengenai belia yang ingin menceburkan diri dalam bidang nyanyian, beliau menyatakan agar berusaha untuk membuat yang terbaik di samping mencari syarikat produksi yang memberi kepercayaan atas diri sendiri.

“Saya mula membuat rakaman bersama EEStudio dan sehingga ke hari ini, kesemua lagu-lagu saya dihasilkan oleh studio rakaman tersebut yang mana banyak membantu dan meningkatkan kualiti diri saya dalam nyanyian khasnya,” jelasnya yang memulakan bidang nyanyian dengan menghantar lagu beliau ke stesyen radio Pelangi pada tahun 2013. Walaupun dalam kesibukan bekerja sepenuh masa di sektor swasta, Dani Ahmad bijak dalam pengurusan masa, tanpa menjejaskan tugasan dan komitmen nyanyian beliau.

“Saya akan mengambil cuti dari bekerja untuk mengisikannya dengan perkara-perkara yang berfaedah contohnya baru-baru ini saya hanya bercuti pendek dua hari untuk membuat rakaman muzik video Dunia Terindah ini”, jelasnya yang juga menasihatkan para belia agar bijak menguruskan masa mereka.

Dani Ahmad semasa pelancaran muzik video terbaharunya ‘Dunia Terindah’ yang diadakan di Jerudong, baru-baru ini.