ACAPULCO, MEXICO, 2 MAC – Pemain ranking keempat, Casper Rudd tewas kepada pemain kelayakan, Taro Daniel 7-5, 2-6, 7-6 (5) dalam perlawanan pusingan 16 di Terbuka Mexico semalam.
Bagi Daniel, kemenangan itu adalah yang pertama menentang pemain 10 terbaik dan membolehkannya mara ke suku akhir. Daniel yang berusia 30 tahun, menduduki tempat ke-125 dalam ATP, berada 0-8 ketika menentang pemain yang berada dalam ranking 10 teratas.
Sebelum menewaskan Ruud, kemenangan terbaik Daniel adalah ke atas Novak Djokovic di Indian Wells pada 2018, apabila pemain Serbia itu menduduki tempat ke-13.
Ruud meningkat ke tangga kedua selepas tewas pada final Terbuka AS kepada Carlos Alcaraz. Semasa menentang Daniel, pemain Norway itu melakukan 46 kesilapan tanpa sengaja dan tersasar kepada 3-4 pada 2023.
Daniel akan cuba melanjutkan kejayaannya apabila berdepan Alex De Minaur, yang menewaskan Jacopo Berrettini 6-1, 6-0.
Dalam perlawanan lain semalam, Frances Tiafoe menewaskan Feliciano Lopez 6-2, 7-6 (6), dan akan melawan Taylor Fritz, yang menewaskan Denis Shapovalov 6-4, 6-4.
Selain itu, McKenzie McDonald menundukkan Brandon Nakashima 6-2, 6-0, dan akan berdepan Tommy Paul, yang mara ke suku akhir apabila Michael Mmoh mengundurkan diri pada set kedua, dan Matteo Berrettini menyingkirkan Elias Ymer 6-3, 6-3. – AP
