Danilo, Lukaku bangkit julang Inter

MILAN, 27 SEPT – Danilo D’Ambrosio dan Romelu Lukaku menjaringkan dua gol di saat akhir perlawanan untuk mencatatkan kemenangan 4-3 pada aksi pembukaan musim penuh mendebarkan ketika berdepan Fiorentina yang mempamerkan pemain Franck Ribery.

Pencabar kejuaraan liga, Atalanta dan Lazio juga memulakan kempen mereka dengan mencatatkan kemenangan tatkala mereka cuba untuk menghalang Juventus daripada meraih kejuaraan liga kali ke-10 berturut-turut musim ini.

Inter yang dibimbing Antonio Conte berjaya mengejar Fiorentina ketika perlawanan berbaki tiga minit di San Siro selepas Ribery dikeluarkan.

Lukaku menyamakan kedudukan pada minit ke-87 sebelum pemain pertahanan, D’Ambrosio menjaringkan gol kemenangan dua minit kemudian.

“Tiga mata adalah sangat penting namun anda harus membuat penilaian yang tepat. Apa yang positif ialah kami menjaringkan empat gol, mencipta banyak peluang, namun penjaga gol lawan bermain dengan baik dan kami berdepan dengan masalah itu.

“Kami harus mempertingkatkan prestasi dan lebih seimbang selepas ini,” kata Conte yang membawa Inter menduduki tempat kedua di belakang Juventus dengan hanya dibezakan satu mata.

Sementara itu, Ciro Immobile berjaya memperbaiki permainannya untuk membantu Lazio mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Cagliari, manakala Atalanta mula meraih kemenangan 4-2 ketika berdepan Torino.

Immobile yang juga penyerang antarabangsa Itali dan penjaring terbanyak Serie A musim lalu dengan meledakkan 36 gol, menyumbat jaringan kedua Lazio pada suku terakhir permainan.

Lazio dan Atalanta akan bertemu sesama sendiri di Rom Rabu depan. – AFP

Aksi penuh bertenaga Lukaku (tengah) ketika menjaringkan gol di minit ke-87 pada perlawanan menentang Fiorentina di Milan, kelmarin. – AFP