Dapatkan ganjaran puasa terbaik

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Bagi memeriahkan lagi suasana bulan Ramadan semasa krisis penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengendalikan Program Ramadan Mubarak Bersama KUPU SB yang telah memasuki episod ke-7.

Program berkenaan merupakan sesi tazkirah dalam talian yang dikongsikan di media-media sosial dengan episod ke-7 menampilkan Pengarah Pusat Pengajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah KUPUSB, Haji Mohd Azmi bin Haji Omar yang membincangkan tajuk ‘Tingkatan Puasa’.

Beliau dalam tazkirahnya menyentuh mengenai kewajipan berpuasa bagi umat Islam dan hakikat ibadah puasa itu sendiri.

Beliau menjelaskan bahawa puasa itu ada beberapa tingkatan dan tingkatan pertama ialah puasa umum atau puasa untuk orang awam.

Puasa ini adalah untuk menahan perut daripada makan dan minum dan juga kemaluan daripada melakukan perkara-perkara syahwat.

Kedua ialah puasa khusus iaitu untuk menahan diri daripada pendengaran, penglihatan, lidah, perkataan daripada mengeluarkan perkataan-perkataan tidak baik, melihat benda-benda maksiat dan sebagainya. Manakala itu, puasa hati ialah tidak memikirkan tentang hal-hal keduniaan dan hanyalah berpegang teguh kepada Allah SWT dan yakin bahawa puasa dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Oleh itu, beliau menyeru umat Islam di negara Brunei Darussalam untuk menggabungkan tingkatan komponen puasa ini supaya mencapai martabat kepada mendapat ganjaran puasa yang terbaik dan diberkati.

Haji Mohd Azmi ketika menyampaikan tazkirah dalam episod ke-7 Program Ramadan Mubarak Bersama KUPU SB.