‘Dapatkan Messi hanya fantasi’

MILAN, 26 JULAI – Pengurus Inter Milan, Antonio Conte kelmarin menolak kemungkinan mengenai laporan yang mengatakan bahawa kelab yang dimiliki oleh ahli perniagaan dari China itu cuba untuk mendapatkan khidmat pemain bintang Barcelona, Lionel Messi.

“Kita bercakap mengenai fantasi bola sepak, situasi yang tidak mungkin dilakukan oleh Inter Milan disebabkan oleh banyak faktor,” kata Conte selepas Inter menewaskan Genoa 3-0 untuk naik ke kedudukan kedua di Serie A.

Pemenang Ballon d’Or sebanyak enam kali, Messi, 33, yang menghabiskan keseluruhan karier profesional bersama Barcelona dengan kontraknya bakal tamat pada 2021.

“Saya tidak rasa ada orang tidak mahukan Messi, tetapi dia benar-benar jauh dari kami dan apa yang ingin kami bina,” tambah bekas pengurus Juventus dan Chelsea itu.

CEO Inter, Giuseppe Marotta turut menolak perbincangan bahawa kelab tersebut mahukan Messi untuk menyaingi bintang Juventus, Cristiano Ronaldo.

“Leo bukanlah matlamat kami dan saya rasa dia tidak mahu meninggalkan Barcelona,” kata Marotta.

Conte sementara itu berkata bahawa dia berharap pihak kelab dapat mencapai kata persetujuan dengan Manchester United mengenai pemain pinjaman, Alexis Sanchez, supaya pemain tersebut boleh bermain dengan Inter Milan di Liga Eropah.

Sanchez yang diketepikan selama berbulan-bulan dengan kecederaan lutut, menjaringkan gol pada Sabtu manakala bekas rakan sepasukannya dari United, Romelu Lukaku berjaya menjaringkan dua gol. – AFP

Pengurus Inter Milan, Antonio Conte menolak kemungkinan kelab tersebut berminat untuk mendapatkan khidmat Lionel Messi.- AP