Dapatkan nasihat sebelum anjur aktiviti memanah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menyarankan orang ramai yang ingin mengadakan aktiviti sukan memanah agar merujuk terlebih dahulu atau mendapatkan khidmat nasihat daripada persatuan yang telah berdaftar secara sah di negara ini bagi mengetahui lebih lanjut mengenai peraturan dan garis panduan yang perlu diikuti dan juga dipatuhi.

Hanya terdapat dua persatuan memanah yang berdaftar secara sah di negara ini iaitu Persatuan Memanah Brunei Darussalam dan Persatuan Setia Bersatu Archery.

PPDB membuat saranan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, dengan peningkatan minat masyarakat awam terhadap aktiviti sukan berkenaan di negara ini.

Dengan peningkatan itu, tambah kenyataan, maklumat-maklumat risikan mengenai aktiviti sukan memanah yang dikendalikan secara persendirian tanpa sebarang kebenaran dan rujukan garis panduan yang sah juga telah diterima.

Perkara berkenaan telah menarik perhatian pihak berwajib kerana peralatan memanah seperti anak panah tersebut dikategorikan sebagai senjata yang dianggap berbahaya.

PPDB menyatakan, sepertimana di bawah peruntukan Akta Ketenteraman Awam Penggal 148, Seksyen 29 (1), membawa senjata berbahaya di tempat awam boleh diambil tindakan yang membawa kepada hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta tidak kurang tiga kali sebatan.