Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Bagi warga Brunei yang telah dijangkiti dan pulih daripada jangkitan COVID semasa berada di luar negara, mereka bolehlah menunjukkan recovery certificate dari negara berkenaan sebelum memasuki Brunei untuk diberikan pengecualian daripada membuat ujian PCR.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara tersebut semasa menjawab persoalan sama ada pengesahan sijil jangkitan dan pulih COVID akan diterima di dalam BruHealth, pada sidang media harian di Dewan Al-’Afiah Kementerian Kesihatan hari ini.
Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan bagi situasi tersebut, mereka yang telah dijangkiti dan pulih daripada COVID semasa berada di luar negara, negara terbabit yang akan mengeluarkan recovery certificate mereka.
“Recovery certificate dari negara tersebut tidak dapat dimasukkan ke dalam aplikasi BruHealth, kerana BruHealth ini hanya bagi mereka dijangkiti di negara Brunei sahaja,” jelasnya.