Dapatkan sampul surat, setem kenangan Jambatan SHOAS

Oleh Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP) telah mula menjual Sampul Surat Rasmi Hari Pertama dan Setem Kenang-kenangan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS), semalam.

Sampul dan setem berkenaan memaparkan pembinaan jambatan terpanjang di rantau Asia Tenggara yang mempunyai kepanjangan 26.3km dan mula dibukakan kepada orang ramai pada 17 Mac 2020.

Pembukaan Jambatan SHOAS berkenaan adalah bagi memudahkan pergerakan orang ramai di antara Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong.

Jambatan tersebut juga menjadi lambang kemodenan terunggul bagi Negara Brunei Darussalam dan dengan pemodenan jambatan itu mengingatkan kepada Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang dikenali sebagai Arkitek Brunei Moden.

Untuk keluaran ini, JPP mengeluarkan Sampul Surat Rasmi Hari Pertama, tiga keping setem dan Lembaran Mini Khas yang kesemuanya dijual di cawangan-cawangan Pejabat Pos.

Produk-produk setem yang akan dijual adalah seperti Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Bersetem (FDC), Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Tanpa Setem (FDC), Lembaran Mini Khas (Miniature Sheet), Setem Setenant dan Lembaran Setem Selaras.

ATAS & BAWAH: Sampul Surat Rasmi Hari Pertama dan Setem Kenang-kenangan Jambatan SHOAS yang telah mula dijual Jabatan Perkhidmatan Pos.