Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Sempena Ulang Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) yang ke-60, Jabatan Perkhidmatan Pos telah mengeluarkan Sampul Surat Rasmi Hari Pertama dan Setem Tematik Kereta Bomba.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, pengeluaran Setem Tematik Bomba berkenaan adalah atas inisiatif Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama JBP, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sebagai usaha untuk lebih menarik para peminat dan pengumpul setem tematik dari dalam dan luar negara.
Kenyataan menyatakan set lengkap pek edisi khas Sampul Surat Rasmi Hari Pertama bersama setem tersebut dijual pada harga $5 dan Pek Edisi Khas Setem Uncut dengan $15.
Rekaan setem yang diketengahkan dalam set tersebut ialah Setem Tangga Tender Air keluaran tahun 1980an, Setem Tender Penyelamat keluaran tahun 1988, Setem Tangga Meja Putar keluaran tahun 2002 dan Setem Tangga Tender Air keluaran tahun 2015.
Pek edisi khas sampul dan setem uncut itu boleh didapatkan di Bahagian Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jalan Landasan Lama, Berakas semasa waktu bekerja.