Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Dapur kayu api kembali laku di Sri Lanka

    NEHINNA, SRI LANKA – Penduduk Sri Lanka yang menghadapi krisis ekonomi teruk dengan kekurangan bekalan daripada ubat-ubatan kepada minyak, kini telah kembali beralih kepada penggunaan kayu api apabila memasak.

    Peralihan tersebut bermula pada awal tahun apabila lebih 1,000 dapur meletup di seluruh negara, membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencedera ratusan yang lain.

    Masalah berpunca daripada pembekal yang ingin mengurangkan kos dan menambah penggunaan propana, sekali gus menambah tekanan kepada tahap berbahaya.

    Namun sekarang, gas sama ada tidak dapat diperoleh atau terlalu mahal untuk kebanyakan penduduk di negara yang mempunyai populasi 22 juta orang itu. Sesetengahnya cuba beralih kepada dapur minyak tanah, namun kerajaan tidak mempunyai wang untuk mengimportnya bersama petrol dan diesel, yang juga menghadapi masalah bekalan.

    Dan mereka yang membeli dapur elektrik terkejut apabila kerajaan memutuskan bekalan elektrik untuk tempoh masa berlarutan ketika ia kehabisan wang untuk mengimport bahan api untuk penjana.

    Seorang wanita menggunakan kayu api untuk memasak makanan di sebuah hotel di Colombo. – AFP

    Niluka Hapuarachchi, 41, terselamat apabila dapur gasnya meletup sejurus selepas memasak untuk makan tengah hari pada Ahad.

    “Nasib baik, tidak ada sesiapa yang berada di sana pada waktu itu. Terdapat serpihan kaca bertaburan di atas lantai. Dapur dengan permukaan kaca telah meletup. Saya tidak sekali-kali akan menggunakan gas untuk memasak. Ia tidak selamat. Kami menggunakan kayu api sekarang,” katanya, meskipun terdapatnya kempen untuk mengatasi masalah propana.

    Pemilik gerai tepi jalan, MG Karunawathi, 67, juga telah beralih kepada kayu dan berkata ia merupakan satu pilihan di antara menutup perniagaannya atau bertahan dengan asap dan jelaga.

    “Kami menderita daripada penyedutan asap apabila memasak dengan kayu api, tetapi kami tiada pilihan,” beritahu Karunawathi kepada AFP. “Juga adalah sukar untuk mencari kayu api dan ia sudah menjadi semakin mahal.”

    Sri Lanka merupakan negara berpendapatan sederhana, dengan keluaran dalam negara kasar setiap penduduk adalah sama dengan Filipina.

    Namun dengan salah pengurusan ekonomi dan industri pelancongan terjejas oleh COVID, negara itu mengalami kekurangan wang yang diperlukan untuk membayar kebanyakan import.

    Dan masalah berkenaan mungkin berterusan untuk satu tempoh yang tidak pasti, dengan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe berkata di parlimen baru-baru ini: “Kami akan berdepan kesukaran pada 2023 juga.”

    “Inilah kebenaran dan inilah hakikat,” tambahnya.

    Inflasi tidak rasmi kini menyusuli negara Zimbabwe, dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menganggarkan kira-kira 80 peratus daripada penduduk mengikat perut disebabkan mereka tidak mampu membeli makanan.

    Sebelum krisis, hampir kesemua keluarga di Colombo mampu menggunakan gas, namun sekarang pemotong kayu Selliah Raja, 60, menerima permintaan yang amat memberangsangkan dan perniagaannya meningkat baru-baru ini.

    “Sebelum ini, kami hanya mempunyai seorang pelanggan – sebuah restoran yang mempunyai ketuhar yang menggunakan bahan api kayu – tetapi sekarang kami mempunyai ramai pelanggan sehingga kami tidak dapat memenuhi permintaan,” beritahu Raja kepada AFP.

    Dia berkata pembekal kayunya di wilayah telah menambah dua kali ganda harga mereka disebabkan pertambahan mendadak dalam permintaan serta kos pengangkutan yang melambung naik.

    “Sebelum krisis, pemilik tanah membayar kami untuk menebang pokok getah yang tidak lagi produktif,” beritahu pembalak Sampath Thushara kepada AFP. “Hari ini, kami perlu membayar untuk mendapatkan pokok berkenaan.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...